Khamis, 23 March 2023 | 12:14pm
RHB Investment Bank mengekalkan sasaran TIV 680,000 unit bagi 2023 -NSTP/Eizairi Shamsudin
RHB Investment Bank mengekalkan sasaran TIV 680,000 unit bagi 2023 -NSTP/Eizairi Shamsudin

Jualan kereta melonjak sebelum pengecualian SST berakhir

KUALA LUMPUR: Jumlah jualan industri (TIV) kenderaan bulan ini dijangka lebih tinggi disebabkan oleh faktor bermusim selain menjadi bulan terakhir untuk pengeluar kereta memenuhi tempahan tanpa dikenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang, berkata jualan bagi bulan Mac kebiasaannya adalah sangat kukuh kerana ia adalah pengakhiran tahun fiskal buat kebanyakan syarikat induk Jepun seperti Toyota, Honda, Mazda dan Daihatsu.

"Selain itu, ini adalah bulan terakhir untuk pengeluar kereta menghantar pesanan tanpa SST. Walaupun TIV bulan April mungkin akan lebih rendah berbanding asas yang tinggi bulan ini, ia dijangka kekal kukuh

kerana pengeluar kereta akan terus memenuhi tempahan pelanggan, yang masih merekodkan jumlah yang baik walaupun tiada lagi pengecualian SST," katanya dalam satu nota penyelidikan.

TIV pada bulan Februari ialah 62,649 unit 39 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu dan meningkat 27 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kebanyakan jenama kereta mencatatkan kenaikan berbanding TIV bulan sebelumnya yang secara bermusim adalah lebih lemah.

TIV tahunan melonjak 30 peratus disebabkan oleh jualan PERODUA dan PROTON, memandangkan kedua-dua jenama nasional itu terjejas oleh kekurangan bekalan akibat banjir pada Januari dan Februari tahun lalu.

Khai Xhiang berkata, kenaikan TIV yang kukuh itu disumbangkan oleh jualan unit yang tinggi oleh PROTON dan PERODUA yang masing-masing meningkat sebanyak 59 peratus dan 23 peratus.

"Loji Shah Alam PROTON terus beroperasi pada kapasiti penuh, manakala loji Tanjung Malim berjalan pada kadar penggunaan sebanyak 43 peratus. Kadar penggunaan loji PERODUA pula ialah 89 peratus.

"Yang menarik, pengeluaran bulanan Perodua Axia melonjak 135 peratusmanakala pengeluaran lima lagi model PERODUA jatuh antara dua hingga 25 peratus berbanding Januari. Hal ini mungkin menunjukkan tumpuan PERODUA untuk menghantar sesetengah model sebelum akhir Mac.

"Peningkatan bulanan yang tinggi dalam pengeluaran Axia juga dapat dikaitkan dengan pengeluarannya yang rendah pada Januari 2023, kerana PERODUA mungkin sedang menyediakan barisan pengeluaran untuk Axia generasi kedua serba baharu," katanya.

RHB Investment Bank masih mengekalkan sasaran TIV 680,000 unit bagi 2023.

Khai Xhiang berkata, bank pelaburan itu masih mengekalkan saranan wajaran tinggi untuk sektor automotif.

"Dengan jumlah pesanan yang kukuh dan kekangan rantai bekalan mereda, kami berpandangan syarikat-syarikat automotif mempunyai kebolehlihatan perolehan untuk 2023.

"Oleh sebab kos input mungkin kekal stabil daripada paras suku keempat 2022 dan akan beransur-ansur rendah dengan penurunan kos bahan mentah dan kekangan bekalan mereda, jumlah tempahan ini dapat membawa kepada penghantaran dan juga perolehan," katanya.

Berita Harian X