Khamis, 16 March 2023 | 3:01pm

BMW perkenal dua varian 3 Series

KUALA LUMPUR: BMW Malaysia memperkenalkan dua varian BMW 3 Series, BMW M340i xDrive dan BMW 330Li M Sport baharu ke pasaran Malaysia.

Seperti varian BMW 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport yang dilancarkan sebelum ini, luaran dan dalaman yang serba baharu juga dilihat memodenkan lagi BMW M340i xDrive dan BMW 330Li M Sport yang terkini.

Ia turut dibuktikan dengan rangkuman BMW Curved Display, yang menzahirkan sebuah pengalaman pemanduan yang serba canggih lagi progresif.

BMW M340i xDrive baharu hadir dengan seksyen hadapan yang lebih menonjol, diperbaharui agar ia tampak lebih ekspresif berbanding iterasi yang terdahulu.

Dari sisi, BMW M340i xDrive dilihat membawakan cermin sisi M, set roda aloi ringan M 19 inci dengan penggayaan dwiruji 791 dan dwiwarna M, di samping Brek M Sport dalam rona biru berglos tinggi.

Menonjolkan ketangkasannya, seksyen belakang BMW M340i xDrive baharu dapat dibezakan menerusi spoiler belakang M dengan reka bentuk khas yang melingkari paip ekzos – yang turut dibawakan dalam BMW 330Li M Sport baharu.

Harga runcit bagi BMW M340i xDrive, BMW M340i xDrive M Sport Pro dan BMW 330Li M Sport baharu dengan Inklusif Servis dan Pembaikan BMW serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah masing-masing bermula RM391,800;RM396,800; dan RM325,800.

Sebagai standard, BMW M340i xDrive baharu didatangkan dengan Pakej M Aerodynamics serta Garisan Bayang berglos tinggi M.

Sementara itu, BMW 330Li M Sport baharu juga telah melalui proses pembaharuan di mana ia tampil dengan lampu hadapan LED yang lebih langsing dengan grafik lampu waktu siang yang serba ekspresif, turut diperkayakan dengan fungsi bantuan lampu puncak.Dari sisi, elegen BMW 330Li M Sport baharu diserlahkan oleh siluetnya yang melandai, tampil dengan panjang keseluruhan yang berukuran 4,823mm dan jarak roda (wheelbase) berukuran 2,961mm – sebagai rujukan, ukuran tersebut adalah 110mm lebih panjang berbanding BMW 330i M Sport yang terbaharu.

Ia turut didatangkan dengan set roda aloi M 18 inci dengan penggayaan dwiruji 848, dwiwarna M.

Di samping itu, Pakej M Aerodynamics dan Garisan Bayang berglos tinggi M dengan konten lanjutan juga didatangkan secara standard bagi BMW 330Li M Sport baharu.

Untuk menambah rencah ketangkasan, varian M Sport Pro juga disediakan untuk BMW M340i xDrive baharu, memperkayakan lagi ciri luaran yang menonjolkan penampilan dinamik kenderaan ini.

Ia termasuk set roda aloi ringan M 19 inci dalam penggayaan dwiruji 792, dwiwarna M dalam rona Jet Black; Garisan Bayang cahaya M; Angkup brek M Sport dalam warna merah berglos tinggi; Garisan Bayang berglos tinggi M dengan konten lanjutan; bingkai dan bilah gril 'kidney' dalam warna hitam berglos tinggi; serta spoiler belakang M dalam warna Black Sapphire.

Menjengah ke dalam kabin, ia tampil dengan BMW Curved Display menggunakan yang kuasa digital dan sofistikasi untuk memperkayakan ruang dalaman kedua-dua varian ini, yang menzahirkan suasana keelegenan.

Sementara Paparan Informasi 12.3 inci dan Paparan Kawalan sentuh 14.9 inci membekalkan akses ke atas aneka maklumat dan fungsi utama, konsol sentralnya juga hadir dengan tata atur yang kemas di samping tuil gear klasik yang kini memperlihatkan rekaan togol yang bersofistikasi tinggi namun minimalis.Bersesuaian dengan watak sporty jentera ini, BMW M340i xDrive baharu membawakan kerusi sport bagi pemandu serta penumpang hadapan, dan kerusi pemandu khususnya didatangkan bersama pelaras elektrik dengan fungsi memori.

Juga dilengkapi secara standard ialah Stereng Kulit M Walknappa yang disulam dengan tangan, Material Bumbung Antrasit M dan juga Trim Interior M Aluminium Rombikel Antrasit.Berpegang kepada Aksara Terunggul di Dunia, BMW M340i xDrive memuatkan enjin petrol enam silinder sebaris yang membekalkan maksimum 387 kuasa kuda (hp) serta tork setinggi 500 Nm.

Ia mampu memacu sedan sport ini dari kelajuan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.4 saat sahaja, dibelakangi oleh kelajuan tertingginya yang dihadkan pada paras 250 km/j.

Bagi BMW 330Li M Sport baharu pula, enjin petrol empat silinder sebaris miliknya membekalkan maksimum 258 hp dan 400 Nm tork, pecutan 0 – 100 km/j dicatat olehnya dalam masa 6.2 saat sahaja, dan kelajuan tertinggi jentera ini dihadkan pada paras 250 km/j.

Berbekalkan sistem bantuan pemandu yang serba canggih, perjalanan pengguna dijamin akan menjadi lebih mudah.

Bantuan Parkir dan Bantuan Memandu didatangkan secara standard bagi BMW M340i xDrive dan BMW 330Li M Sport baharu. Bantuan Parkir berasaskan kamera dan ultrabunyi mencakupi kemudahan Bantuan Memarkir, Kawalan Jarak Parkir Aktif (PDC), Bantuan Parkir Lateral dan juga Kamera Bantuan Mengundur.

Fungsi Bantuan Mengundur dirumus untuk merekod pergerakan hadapan kenderaan yang terakhir sejauh 50 meter dan ia dapat mengundurkan kenderaan ini dengan pergerakan yang sama jika pemandu inginkan.

Bagi kemudahan Bantuan Memandu yang berasaskan kamera dan radar pula, fungsi standardnya melibatkan Amaran Pengeluaran Laluan dengan intervensi stering aktif, Amaran Penukaran Laluan, Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek, Amaran Rentasan Belakang dengan intervensi brek, Amaran Trafik Rentasan Belakang, Amaran Perlanggaran Belakang, Info Had Kelajuan dan Bantuan Had Kelajuan manual.

Bukan itu sahaja, Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan Fungsi Pembrekan turut disertakan secara standard bagi kedua-dua varian.

Berita Harian X