Rabu, 15 Februari 2023 | 2:22pm
Tengku Zafrul bersama Sagree pada majlis pelancaran model CKD Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC di Pekan, hari ini - Foto ihsan Mercedes-Benz Malaysia
Tengku Zafrul bersama Sagree pada majlis pelancaran model CKD Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC di Pekan, hari ini - Foto ihsan Mercedes-Benz Malaysia

EV, hibrid dijangka sumbang 15 peratus jualan kereta pada 2030

PEKAN: Kerajaan yakin sasaran untuk kenderaan elektrik (EV) dan hibrid menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) menjelang 2030 mampu dicapai.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata jika dilihat ketika ini, harga EV masih tinggi dibandingkan dengan kereta konvensional, namun trend semasa di dunia menunjukkan harganya semakin mencatat penurunan.

"Jika permintaan (EV) tinggi, ia akan mengundang kepada skala ekonomi dan kita berharap harganya akan turun. Justeru, saya optimis dengan perkembangan teknologi yang begitu pantas akan dapat menurunkan harga EV pada masa akan datang.

"Sasaran kita ini bukan hanya membabitkan EV, tetapi turut merangkumi kereta hibrid, jadi kita yakin sasaran ini mampu untuk dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan model EV Mercedes-Benz yang pertama dipasang di dalam negara (CKD), EQS 500 4MATIC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia sebagai salah satu hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) yang terkemuka dan lebih matang di ASEAN, sudah mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukannya melalui langkah dasar, selain memanfaatkan ekosistem EV sedia ada dan memastikan penyediaan tenaga bakat yang kukuh.

"Semua ini memberi petanda baik bagi pelabur yang ingin membantu kami membangunkan industri EV yang berdaya maju di Malaysia, yang akan menyokong sasaran pelepasan sifar karbon bersih Malaysia menjelang 2050.

"Untuk tujuan ini, pelancaran Mercedes-Benz bagi kereta elektrik bateri penuh pemasangan tempatan pertamanya adalah baik untuk Malaysia.

"Ia meningkatkan keupayaan industri domestik dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan, yang akan meningkatkan kadar penggunaan tempatan untuk EV," katanya.

Beliau menambah, ia juga seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan menggalakkan kecemerlangan dalam industri EV Malaysia.

"Ini secara langsung memberi manfaat kepada industri sub dan pembekal untuk penyumberan kandungan tempatan, justeru meningkatkan keseluruhan perniagaan, pelaburan dan prospek ekonomi Malaysia.

"Melangkah ke hadapan, EV akan terus menjadi pemangkin bagi industri automotif kerana lebih banyak dana, pelaburan dan insentif cukai menjurus ke arah ekonomi pekeliling dan teknologi hijau," katanya.

Sementara itu, Sardien berkata satu daripada keutamaan pihaknya ketika ini ialah untuk menghasilkan bateri dengan kos yang rendah.

"Kami sudah menghasilkan bateri generasi ketiga dan matlamat kami adalah untuk mengurangkan kos pengeluarannya.

"Ini adalah sebab mengapa kami kini mengambilalih pemilikan pengeluaran bateri dalam kilang kami selain menambah elemen jaminan untuk bateri.

"Jika anda lihat, bateri model EQS ini mempunyai jaminan selama 10 tahun dan 250,000 kilometer perbatuan, yang menunjukkan kami mempunyai tahap keyakinan yang tinggi terhadap komponen bateri di dalam kereta kami.

"Bateri akan menjadi komponen paling utama yang kami akan tumpukan untuk mengurangkan kos," katanya.

Berita Harian X