Rabu, 15 Februari 2023 | 11:54am
Pelancaran Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC di Pekan, Pahang - NSTP/Hazwan Faisal Mohamad
Pelancaran Mercedes-Benz EQS 500 4MATIC di Pekan, Pahang - NSTP/Hazwan Faisal Mohamad

Mercedes-Benz lancar kereta elektrik pertama dipasang di Malaysia

PEKAN: Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya yang pertama dipasang di dalam negara (CKD), EQS 500 4MATIC di kilang pengeluarannya di sini.

Sedan mewah EV yang mampu menawarkan jarak sehingga 696 kilometer (km) berdasarkan kepada standard ujian WLTP, ditawarkan pada harga atas jalan RM648,888 tidak termasuk insurans.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien, berkata pihaknya mencapai kejayaan baharu dengan pelancaran kenderaan elektrik pemasangan tempatan pertama, EQS 500 4MATIC.

"Ini menyokong strategi perniagaan global kami untuk menawarkan pelanggan rangkaian EQ yang komprehensif dan menyumbang kepada penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia.

"Sebagai sebuah syarikat, kami komited terhadap visi kemampanan dan 'Lead in Electric' dengan mengembangkan barisan kumpulan kereta penumpang baharu untuk menjadi neutral karbon dioksida (CO2) sepanjang kitaran hayat menjelang 2039, bagi menyokong pengenalan EV menjelang akhir dekad ini, di mana-mana sahaja pasaran yang membenarkan.

"Berdasarkan ini, kami terus mencipta ekosistem mobiliti elektrik yang holistik, bukan sahaja melalui produk kami, tetapi juga perkhidmatan, teknologi dan inovasi kami, untuk memastikan pelanggan kami boleh memasuki masa depan elektrik," katanya pada majlis pelancaran model berkenaan di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

EQS 500 4MATIC menawarkan kuasa maksimum 330kW dan tork 828Nm untuk pemanduan yang tangkas dan cekap, membolehkan pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam 4.8 saat dan kelajuan tertinggi pada 210 km/j.

Bagi pengecasan DC berkapasiti 200kw, model ini akan mengambil masa selama 31 minit untuk mencapai paras 80 peratus pengecasan daripada 20 peratus.

Melalui pengecasan AC berkapasiti 11 kw, EQS 500 4MATIC boleh dicas daripada 10 peratus hingga 100 peratus dalam masa 10 jam.

EQS 500 4MATIC akan mula diserahkan kepada pelanggan bermula pertengahan Mac ini.

Berita Harian X