KUALA LUMPUR: Pengeluaran kenderaan elektrik (EV) mampu milik untuk pasaran massa di negara ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.
Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri, berkata bagi menggalakkan penggunaan EV dalam pasaran tempatan, harga mampu milik sudah pasti menjadi perhatian.
Justeru, beliau berkata, bagi menawarkan EV mampu milik secara massa, sudah pasti ia memerlukan kerjasama daripada pengeluar kereta tempatan iaitu PROTON dan PERODUA.
Katanya, MITI sedang berunding dengan pengeluar kereta tempatan bagi membantu mereka mengeluarkan EV mampu milik bagi pasaran tempatan.
"Kami sedang berunding dengan mereka (PROTON dan PERODUA). Kami menjangkakan mereka kemukakan cadangan. Bagi MITI, kami meninjau bagaimana untuk membantu mereka mengeluarkan kenderaan (EV) mampu milik untuk pasaran massa," katanya pada sidang media sempena Persidangan EV 2023 anjuran bersama MIDA dan Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) di sini, hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Mengenai penyediaan stesen mengecas EV, Hanafi berkata, kerajaan menyasarkan untuk mempunyai stesen mengecas EV sebanyak 10,000 menjelang 2025.
Beliau berkata, setakat ini, terdapat 900 stesen mengecas EV di negara ini.
"Bagi tahun ini, dijangkakan mempunyai 3,000 hingga 4,000 stesen mengecas EV. Berdasarkan momentum semasa, kita mampu mencapai sasaran 10,000 menjelang 2025," katanya.
Selain menggalakkan pengeluaran EV empat roda, Hanafi berkata, Malaysia juga menggalakkan pengeluaran motosikal EV di negara ini.
Beliau berkata, kerajaan juga menyediakan insentif kepada pengeluar motosikal EV untuk mengeluarkannya di negara ini.
Sementara itu, Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong, berkata permintaan terhadap EV dijangka terus meningkat di pasaran global dan domestik.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kedudukan yang baik dalam pengeluaran EV memandangkan negara ini mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang mantap.
Katanya, Malaysia juga sangat kukuh dalam pengeluaran cip automotif untuk pasaran eksport, yang memberi ruang untuk direalisasikan bagi pasaran tempatan.
Jelasnya, ia boleh dimanfaatkan bagi pasaran tempatan untuk pengeluaran komponen elektronik automotif seperti sensor, radar, cermin dan sebagainya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata pengeluar kereta nasional itu komited untuk mengeluarkan EV.
Beliau berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan Smart Automobile Co Ltd bagi mengedar, menjual dan servis kenderaan EV di pasaran Malaysia.
"PROTON akan menjual kenderaan EV Smart Automobile di pasaran Malaysia bermula suku keempat tahun ini," katanya dalam panel perbincangan pada persidangan itu,