Rabu, 8 Februari 2023 | 3:59pm
Zainal Abidin pada sidang media majlis prebiu dan pandu uji media untuk model Perodua Axia serba baharu di Sepang, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin
Zainal Abidin pada sidang media majlis prebiu dan pandu uji media untuk model Perodua Axia serba baharu di Sepang, hari ini -NSTP/Eizairi Shamsudin

PERODUA mahu hasilkan kereta hibrid mampu milik

SEPANG: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bercadang menghasilkan kereta hibrid paling mampu milik bagi tanpa berkompromi dengan aspek teknologi dan keselamatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata pengeluar kereta kompak nasional itu akan menggunakan kepakaran, termasuk meninjau penggunaan platform pembangunan kenderaan sedia ada untuk beralih ke model hibrid.

"Projek hibrid masih dalam peringkat kajian berdaya maju. Jika akan melihat semua aspek termasuk penggunaan platform sedia ada. Namun, penekanan kita adalah aspek harga di mana jika projek ini direalisasikan, PERODUA akan menghasilkan model hibrid paling mampu milik di Malaysia.

"Fokus PERODUA selain memberi nilai tambah kepada pemegang saham, kita bersama vendor dan pengedar sentiasa memberi tumpuan keperluan rakyat terhadap kereta mampu milik.

"Kami berkorban untuk memastikan kitaran ekonomi dalam industri automotif terus kekal mampan," katanya pada sidang media majlis prebiu dan pandu uji media untuk model Perodua Axia serba baharu di sini, hari ini.

Dalam satu sidang akhbar minggu lalu, Zainal Abidin berkata PERODUA akan memperkenalkan EV dalam tempoh terdekat, seiring dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan pengeluar kenderaan lain ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini PERODUA berada di peringkat pemerkasaan dan peningkatan operasi vendor-vendor tempatan terlebih dahulu bagi pengeluaran kenderaan EV.

Katanya, ini adalah kerana vendor masih lagi kekurangan pendedahan kepada EV dan teknologi maju disebabkan industri automotif Malaysia masih baru menerima kemasukan teknologi EV.

Bagi melaksanakan perkara itu, katanya, PERODUA akan mengenal pasti syarikat global dengan elektrifikasi dan teknologi maju selain meneroka jalinan kerjasama strategik dengan vendor tempatan.

"PERODUA akan meningkatkan keupayaan vendor bagi memastikan semua pihak bersedia untuk kenderaan EV. PERODUA juga sedang meneliti adakah keperluan sebenar EV untuk pasaran domestik ketika ini.

"Masih di peringkat awal, kita akan terus melaksanakan pengukuhan keupayaan vendor. Adalah menjadi hasrat PERODUA untuk berkembang bersama rakan niaga kami dan kami mahu melakukan ini dengan cara yang akan memberi manfaat bersama dan kekal mampan," katanya.

Berita Harian X