PETALING JAYA: Sektor automotif kekal menjadi DNA perniagaan Naza Group of Companies walaupun kumpulan memiliki perniagaan utama lain termasuk hartanah, telekomunikasi serta makanan dan minuman (F&B).
Pengerusi Naza Automotive Group, Datuk Jasmy Ismail, berkata infrastruktur perniagaan automotif ditunjangi lima anak syarikat yang terbabit sebagai pengedar kenderaan baharu dan terpakai import termasuk jenama Maserati, Mercedes-Benz, motosikal jenama Itali dan Suzuki memainkan peranan besar kepada syarikat induknya.
Katanya, perniagaan automotif menyumbang sehingga 65 peratus pendapatan keseluruhan Naza Group of Companies, sekali gus menjadikannya tunjang kepada perniagaan dibangunkan usahawan Bumiputera terkemuka yang juga pengasasnya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin.
"Perniagaan automotif terus menjadi penyumbang terbesar kepada Naza Group of Companies. Ia kekal menjadi DNA perniagaan kumpulan seperti permulaan syarikat ini dibangunkan oleh Tan Sri (SM Nasimuddin) dengan menjual kenderaan terpakai.
"Tahun ini, perniagaan automotif kami menyumbang pendapatan RM650 juta kepada kumpulan dan dijangka meningkat melebihi RM1 bilion.
"Walaupun kumpulan mempelbagaikan perniagaan termasuk dalam sektor hartanah, infrastruktur, telekomunikasi dan F&B, saya menjangkakan automotif kekal menjadi 'enjin' pertumbuhan kumpulan.
"Kami mahu kekal signifikan kepada Naza Group of Companies dan industri automotif Malaysia," katanya pada temu bual bersama BH dan NST di sini, baru-baru ini.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Naza Automotive, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan.
Untuk rekod, Naza Automotive adalah pengedar kereta Ferrari, Maserati, Mercedes-Benz, Suzuki dan motosikal jenama Itali.
Naza Automotive memiliki lima anak syarikat terdiri daripada NZ Wheels Sdn Bhd (pengedar Mercedes-Benz), Naza Motor Trading Sdn Bhd (pengedar kereta impot terpakai), Next Bike Sdn Bhd (pengedar tunggal motosikal jenama Itali), Naza Eastern Motors Sdn Bhd (Suzuki) dan Naza Italia Sdn Bhd (Ferrari dan Maserati).
Mengulas lanjut, Jasmy berkata, bagi memperkukuh dan memperkemaskan lagi perniagaan automotif, Naza Automotive akan melabur sekitar RM30 juta hingga RM40 juta dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyelaraskan operasi, mendigitalkan perniagaan, menyelenggara serta menambah baik premis.
"Prinsipal jenama mahu kami menambah baik bilik pameran fizikal. Kami sudah melaksanakan pembaharuan identiti korporat untuk Maserati dan tidak lama lagi NZ Wheels pula akan mengubah identiti korporat bilik pameran Mercedes-Benz.
"Sebarang pelaburan dalam penyelenggaraan atau rombakan identiti korporat akan membabitkan kos tinggi kerana kami berurusan dengan jenama premium.
"Daripada jumlah pelaburan yang dirancang, identiti korporat saja membabitkan peruntukan sehingga 40 peratus. Apa yang penting, kami mahukan yang terbaik untuk prinsipal dan pelanggan," katanya.
Mengenai pembabitan Naza Automotive dalam pengedaran kereta jenama Suzuki, beliau menjelaskan, syarikat kekal optimis dengan potensi jenama dari Jepun itu kerana memiliki khalayak pelanggan sasar tersendiri di Malaysia.
"Kami meletakkan Suzuki sebagai jenama gaya hidup kerana memiliki pengikut tersendiri. Buat masa ini, kami membawa masuk model Swift Sports dan Jimny ke Malaysia.
"Kami sedang merancang untuk membawa masuk model ketiga Suzuki ke Malaysia, iaitu segmen berlainan dengan Swift dan Jimny.
"Ketika ini, kami menjual sekitar 30 hingga 35 unit Suzuki sebulan. Tahun depan, kami menyasarkan untuk menjual sekitar 60 unit sebulan. Sebagaimana kebanyakan model jenama lain edaran, jumlah jualan yang besar untuk Suzuki bukan satu-satunya fokus utama kami," katanya.
Mengenai perancangan akan datang pula, Jasmy berkata, sebagaimana peserta automotif lain, Naza Automotive juga memberi tumpuan kepada kenderaan elektrik (EV) memandangkan ia fokus kebanyakan pengeluar pada masa ini.
Katanya, buat masa ini, Naza Automotive sedang meninjau rakan niaga berpotensi untuk membawa masuk kenderaan EV sama ada dua atau empat roda ke Malaysia.
"Kami berhati-hati dengan EV. Untuk perniagaan EV, kami perlu melihat aspek yang lebih meluas bukan sekadar memperkenalkan model EV baharu ke pasaran, malah melihat keperluan ekosistem lain seperti infrastruktur pengecasan. Stesen penukaran bateri (EV dua roda) juga boleh dipertimbangkan," katanya.