KUALA LUMPUR: Jika benarlah Polestar 2 adalah versi Proton Perdana baharu, ia bakal menjadi 'pencetus lonjakan' kepada Proton Holdings Bhd (PROTON) dalam meneroka pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Cuma berdasarkan perbandingan Polestar 2 adalah jenis 'liftback' (atau hatch-back), manakala Proton Perdana adalah model sedan.
Bagaimanapun versi serba baharu boleh bertukar segmen sebagaimana yang berlaku kepada model sedan Honda City menjadi hatch-back, begitu juga Toyota Corolla menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV), Cross.
Apa juga model yang akan diketengahkan PROTON, ia sememangnya amat dinantikan ramai pihak termasuklah versi 'liftback' atau SUV Proton Perdana.
Jika PROTON melancarkan model EV pertamanya, ia dilihat sejajar usaha yang telah dimulakan beberapa pengeluar seperti BMW, Mercedes-Benz, Volvo, Kia dan BYD yang sudah melancarkan model masing-masing ke pasaran Malaysia.
Kehadiran Polestar 2, bakal meningkatkan pilihan rakyat kepada EV terutamanya fokus kepada jenama tempatan.
Polestar adalah jenama automotif Sweden yang ditubuhkan pada tahun 1996 oleh rakan kongsi Volvo Cars Flash/Polestar Racing dan diambilalih sepenuhnya pada tahun 2015 oleh Volvo, yang mana Volvo pula kemudiannya diambilalih oleh Geely pada 2010.
Jika inisiatif membabitkan EV dalam Bajet 2023 yang diumumkan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Oktober lalu diteruskan atau dikekalkan dalam bajet baru tidak lama lagi, maka ia dilihat dapat merancakkan lagi pasaran kenderaan alaf baharu di bumi Malaysia.
Kerajaan menerusi Bajet 2023 yang diumumkan sebelum ini bercadang melanjutkan pengecualian duti import dan eksais EV sehingga 31 Disember 2024 bagi kenderaan EV import sepenuhnya.
Bagi menyokong industri EV negara, kerajaan juga bercadang mengecualikan fi Permit Import (AP) bagi mengimport kenderaan EV sehingga 31 Disember 2023.
Selain itu, pengilang peralatan pengecasan EV juga bakal mendapat manfaat menerusi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032 dan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus.
Jika PROTON melaksanakan 'rebatch' ke atas Polestar 2 kepada Perdana atau mungkin model sedan elektrik penuh pertama, ia adalah langkah yang sangat tepat khususnya menjadikan pengeluar kereta nasional itu sebagai antara peserta pasaran EV.
Awal November lalu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah mendedahkan, pengelyar kereta nasional itu dijangka mengeluarkan EV pemasangan tempatan (CKD) pertama jenama nasional itu dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau menjelaskan, buat masa ini, PROTON memiliki dua model pembakaran dalaman (ICE) yang boleh ditukar kepada EV, namun pengeluar kereta nasional itu perlu memahami pasaran, teknologi dan pelaburan sebelum memutuskan untuk menjadi sebahagian pengeluar dalam industri alaf baharu itu.
Melihat kenyataan yang dikeluarkan Roslan ketika menjadi ahli panel sesi Pelaburan dalam EV - Peluang dan Cabaran pada forum Invest Malaysia Series 2: The Road to EV baru-baru ini, ada kemungkinan model sedia ada digantikan dengan versi elektrik.
Dan model Perdana juga dilihat memiliki kemungkinan untuk menjadi antara model EV pertama PROTON.
Bagaimanapun, berdasarkan beberapa pelancaran baharu oleh pengeluar lain, fokus dilihat terarah kepada model SUV sebagaimana pengenalan BMW iX, Kia EV6, BYD ATTO 3, Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo C40 Recharge Pure Electric serta dan Mercedes-Benz EQ series (kecuali sedan EQS 450+).
Berdasarkan pengamatan pasaran, sudah pasti PROTON juga akan mengikut jejak langkah pengeluar lain dalam memperkenalkan model EV di mana SUV menjadi model paling dominan selaras dengan kapasiti kuasa dan praktikaliti yang ditawarkan.
Bagaimana pun harga Proton Perdana ketika dilancarkan pada 2016 adalah bermula RM113,888 untuk varian enjin 2.0L dan RM138,888 bagi 2.4L.
Bagi BMW iX pula ia ditawarkan pada harga bermula RM379,800 hingga RM 425,800; Mercedes-Benz EQS 450+ (sedan) RM698,888, EQB 350 4Matic serta EQC 400 4Matic masing-masing pada harga bermula RM328,888 dan RM388,888; Volvo XC40 Pure Electric (bermula RM278,888) dan Volvo C40 Recharge Pure Electric (bermula RM288,888); serta BYD ATTO 3 (bermula RM149,800).
Berdasarkan harga termasuk pelepasan cukai EV, berapakah harga yang boleh ditawarkan Proton untuk model berkenaan jika Polestar 2 menjadi SUV Perdana?.
Jumaat lalu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibawa melihat lebih dekat Polestar 2, model kereta elektrik yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo.
Dalam perkongsian di laman Facebook rasminya, bekas Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON) diiringi Pengerusi PROTON ketika ini, Datuk Seri Syed Faisal Albar melihat jentera elektrik berwarna putih dengan nombor pendaftaran WHX 2020.
"Pagi tadi DRB-Hicom telah perkenalkan sebuah kereta elektrik 'Polestar 2' kepada saya. Ini adalah sebuah kereta yang diusahakan oleh Geely, rakan usahasama PROTON.
"Saya difahamkan yang dengan sekali cas ia boleh capai sehingga 400 kilometer (km). Sekali cas mencukupi untuk guna kereta ini seperti biasa. Bagi cas semula pula hanya perlu kurang dari 2 jam untuk dapat 100 peratus bekalan penuh.
"Jika cas gunakan kuasa elektrik di rumah, ia mengambil masa selama sekitar 7 jam. Tetapi sekarang ini tidak susah kerana sudah terdapat lebih 1000 stesen di seluruh negara, tidak timbul masalah untuk mengecas kenderaan di mana sahaja," kongsi Tun Dr Mahathir.
Menurut Tun Dr Mahathir, dari aspek reka bentuk, kereta terbabit amat canggih l, manakala dalaman pula kemas dan futuristik, di mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan 'tablet'.
Sebelum ini timbul dakwaan yang berlegar di alam maya bahawa Polestar 2 adalah model Proton Perdana baharu.
Polestar 2 ialah model kedua daripada bahagian elektrik kendiri yang dimiliki bersama oleh Volvo dan syarikat induk China, Geely Holding, yang juga memiliki 49.9 peratus pegangan dalam PROTON.
Pada masa ini, model liftback tersedia dalam tiga varian, dengan kapasiti bateri antara 69 dan 78 kWj dan output kuasa antara 408 PS (402 kuasa kuda atau 300 kW)/660 Nm dan 231 PS (228 kuasa kuda atau 170 kW)/330 Nm bergantung kepada sama ada ia pacuan hadapan atau semua roda.