PETALING JAYA: Mercedes Benz Malaysia memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) terbarunya untuk pasaran Malaysia, EQE 350+ yang mampu bergerak sejauh 669 kilometer (km) dengan sekali cas penuh.
Ia adalah model kedua EV yang dilancarkan Mercedes Benz di pasaran tempatan selepas EQS 450+ pada Julai lalu dan dijual pada harga atas jalan RM419,888 tidak termasuk insurans.
EQE 350+ mempunyai banyak persamaan elemen rekaan dan fungsi penting dengan model sedan EQS antaranya unit lampu utama LED beserta lampu nyalaan siang DRL jenis lED, jeriji hadapan yang kosong tanpa bukaan diikuti dengan unit lampu belakang melintang penuh.
Persamaan lain termasuk di bahagian pemegang pintu yang direka bentuk tertanam dengan kemas, diikuti garis bumbung yang lebih melandai ke belakang untuk tujuan aerodinamik yang lebih cekap.
Dari segi saiz, sedan EQE ini adalah lebih pendek berbanding EQS, dengan ukuran sepanjang 4,946 mm, lebar 1,906 mm dan tinggi 1,512 mm.
EQE 350+ dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan kuasa sebanyak 292 hp dan tork 565 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.4 saat dan kelajuan tertinggi pada 210 km/j.
Kapasiti bateri untuk model ini ialah 90.56 kWj, yang memberikannya julat jarak pemanduan yang boleh digunakan sehingga 669 km untuk sekali cas penuh.
EQE 350+ turut menyokong pengecasan pantas DC di mana baterinya boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh 32 minit sahaja, manakala pengecasan AC 11 kW pula akan mengambil masa selama 8 jam 15 minit.
Ketua Pegawai Eksekutif & Presiden Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien, berkata 2022 ialah tahun yang amat penting untuk inisiatif elektrik mereka dengan pengenalan EQA, EQB, EQC, EQS dan kini EQE, menjadikan syarikat automotif itu mempunyai portfolio kenderaan elektrik paling komprehensif di Malaysia.
"Jenama Mercedes-EQ sedang mengejar matlamat yang bercita-cita tinggi kerana ia jelas bahawa kami akan membina kereta yang paling mampan dan paling maju dari segi teknikal di dunia.
"Dengan membawa inovasi yang bertanggungjawab di jalan raya, kami memacu perubahan. EQE ialah contoh terbaharu ini – dan ia akan memberikan sumbangan yang kuat ke arah masa depan mobiliti," katanya pada majlis pelancaran EQE 350+ di sini, hari ini.