RAWANG: Honda Malaysia hari ini melancarkan Civic e:HEV RS, varian tambahan dalam barisan Civic yang ditawarkan pada harga bermula RM166,500.
Model sedan yang dikuasakan oleh rangkaian kuasa 2.0L e:HEV baharu adalah yang pertama untuk Civic dan Honda Malaysia.
Melengkapkan kejayaan Civic Generasi ke-11, Civic e:HEV RS juga menyertai barisan model Honda e:HEV yang semakin berkembang termasuk City, City Hatchback dan HR-V serba baharu.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura, berkata varian baharu itu menjanjikan pengalaman pemanduan yang unggul untuk pelanggan.
"Awal tahun ini, kami mengalu-alukan Generasi Ke-11 Civic ke pasaran Malaysia. Model ini mendapat sambutan hebat daripada rakyat Malaysia dengan hampir 7,000 unit terjual setakat ini dan meraih kedudukan nombor satu dalam segmennya dengan 81 peratus bahagian pasaran setakat September 2022.
"Kami melihat pengenalan rangkaian kuasa e:HEV diterima baik di pasaran Malaysia. Dari Januari hingga Oktober 2022, City e:HEV RS telah menyumbang 5.0 peratus diikuti oleh City Hatchback e:HEV RS pada 8.0 peratus dan HR-V e:HEV RS baharu juga mendapat sambutan positif daripada pelanggan kami dengan sumbangan 11 peratus," katanya ketika melancarkan Honda Civic e:HEV RS di sini, hari ini.
Varian baharu itu menggunakan trenkuasa yang menggabungkan dua motor elektrik yang memberikan prestasi yang menarik dan berkuasa untuk kereta hibrid pemanduan harian.
Ia digandingkan dengan 'Electric Continuously Variable Transmission' (e-CVT) dan Unit Kuasa Pintar (IPU) yang menghasilkan kuasa maksimum 184PS dan tork 315 Nm.
Honda Civic e:HEV RS hadir dengan rekaan sporty dengan penambahan lampu depan dan gril depan cincin krom, pemegang pintu separa krom dan hitam serta logo H dan e:HEV biru yang unik yang eksklusif untuk varian itu.
Ia juga akan menggunakan Roda Aloi Dwi Tona 18-inci dan Penamat Paip Tunggal, memberikannya penampilan yang 'sporty' untuk dipadankan dengan prestasinya.
Menjengah ke dalam kabin, model ini hadir dengan meter TFT penuh 10.2 inci buat kali pertama, di samping ciri yang baru diperkenalkan seperti pengecas tanpa wayar dan kad kunci iaitu pendekatan reka bentuk yang padat, mudah dan eksklusif kepada alat kawalan jauh tanpa kunci.
Honda Civic e:HEV RS juga dilengkapi dengan Audio Paparan Lanjutan 9-inci dengan Apple CarPlay Tanpa Wayar.
Seperti semua model Honda, Civic e:HEV RS dilengkapi dengan set lengkap ciri keselamatan Honda SENSING yang dipertingkatkan yang termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS); Lead Car Departure Notification (LCDN) Road Departure Mitigation System (RDM); Adaptive Cruise Control (ACC); Low Speed Follow (LSF); Lane Keep Assist System (LKAS); Lane Departure Warning (LDW); Forward Collision Warning (FCW); dan Auto High Beam (AHB).
Fungsi lain termasuk Honda LaneWatch, Walk Away Auto Lock, Remote Engine Start, Rear Seat Belt Reminder dan Driver Attention Monitor.