Selasa, 25 Oktober 2022 | 2:34pm
Gambar fail. Kilang Proton. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar fail. Kilang Proton. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bekalan cip kenderaan kembali pulih

KUALA LUMPUR: Isu rantaian bekalan automotif pulih ketara dengan rata-rata pengeluar kenderaan memiliki bekalan cip komputer yang mencukupi, meskipun masih wujud kekurangan bagi sesetengah komponen.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata situasi rantaian bekalan dilihat bercampur-campur dengan Bermaz Auto dan Tan Chong Motor masih bergelut dengan kekurangan semikonduktor, manakala pengeluar kereta nasional tidak lagi berdepan kekurangan komponen yang teruk.

"Kami diberitahu pegawai eksekutif industri dan pihak penjual bahawa isu rantai bekalan telah mereda dengan ketara. Rata-rata pengeluar kereta berjaya mendapatkan bekalan cip mencukupi, namun sesetengahnya masih kekurangan komponen.

"Industri automotif tempatan mencatatkan jualan kukuh pada September dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) menjual 24,626 unit, sekali gus menunjukkan kekurangan buruh di pembekal komponennya berjaya diselesaikan.

"Sebaliknya, pengeluar kereta Eropah tertentu masih tiada bekalan mencukupi untuk abah-abah wayar, pembesar suara dan penderia," katanya dalam nota penyelidikan.

Khai Xhiang berkata, meskipun perolehan peserta sektor automotif dijangkakan kukuh pada dua suku terakhir 2022, perwajaran sektor bagaimanapun kekal NEUTRAL berdasarkan prospek berhati-hati 2023 yang mampu memberi tekanan kepada sentimen pelabur.

"Ketika pasaran terus tidak menentu, kami masih memilih Bermaz Auto dan Sime Darby Motors kerana kadar hasil dividen masing-masing 7.0 peratus dan 6.0 peratus. Dengan pendedahan yang kecil kepada pengeluar kereta nasional juga sepatutnya membantu mereka mengharungi kekangan makroekonomi.

"Bermaz Auto sepatutnya turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan berterusan dalam jenama Kia dan Peugeot, manakala tawaran kenderaan elektrik (EV) Sime Darby Motors membolehkan ia meraih pertumbuhan penggunaan EV di rantau ini.

"Prestasi Sime Darby juga dibantu segmen perindustriannya di Australasia memandangkan perkhidmatan peralatan perlombongannya sepatut terus memanfaat daripada harga tinggi arang metalurgi (kira-kira AS$290/tan). Risiko negatif utama termasuklah kekurangan komponen yang kembali memburuk, kelemahan selanjutnya ringgit dan kekangan makroekonomi lebih teruk daripada jangkaan, yang mampu melemahkan tempahan. Kejadian yang berlaku sebaliknya mendatangkan risiko positif," katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, UMW memiliki perlindungan nilai semula jadi (dalam kumpulannya) untuk bertahan dengan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

"Meskipun kenaikan 1 sen dalam kadar dolar AS/ringgit mungkin menyebabkan kerugian untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4 juta hingga RM5 juta kepada UMW Toyota Motor yang menyumbang 40 hingga 50 peratus kepada PBT kumpulan, kenaikan 10 peratus kadar dolar AS/ringgit pula hanya akan merendahkan perolehan kumpulan sebanyak RM970,000.

"Impak pada kumpulan lebih kecil kerana bahagian peralatan dan aeroangkasanya mendapat manfaat daripada pengukuhan dolar AS. PERODUA (menyumbang 40-60 peratus daripada PBT) pula mempunyai perlindungan lebih besar dengan ia memiliki kandungan tempatan lebih 90 peratus, lantas mengurangkan impak pertukaran mata wang.

"Disebabkan perlindungan nilai semula jadi dalam kumpulan ini, analisis kami menunjukkan bahawa impak daripada nilai dolar AS yang lebih tinggi terhadap perolehan tahun kewangan 2022 hingga 2024 sepatutnya kurang

daripada -1.0 peratus," katanya.

Khai Xhiang berkata, impak kelemahan yen Jepun terhadap Bermaz Auto juga terbatas sebagaimana yang diramalkan pihak pengurusan.

"Syarikat ini akan meraih manfaat daripada kelemahan yen menerusi pengimportan unit CBU (import sepenuhnya) yang dianggarkan merangkumi kurang 30 peratus daripada jualan Mazda pada tahun kewangan 2023 (22 peratus pada

tahun kewangan 2022).

"Menurut laporan tahunan tahun kewangan 2022, penurunan kadar yen/ringgit sebanyak 5.0 peratus hanya akan mendorong untung bersihnya sebanyak RM800,000 dan hal ini membabitkan 0.5 peratus daripada perolehan bersih tahun kewangan terbabit," katanya.

Berita Harian X