Khamis, 24 March 2022 | 3:04pm
Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON, Mohd Khalid Yusof (kanan) dan Pengarah Urusan Pekat Solar Sdn Bhd, Wee Chek Aik pada majlis pelancaran inisiatif tenaga solar PROTON di Tanjung Malim
Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON, Mohd Khalid Yusof (kanan) dan Pengarah Urusan Pekat Solar Sdn Bhd, Wee Chek Aik pada majlis pelancaran inisiatif tenaga solar PROTON di Tanjung Malim

Kilang PROTON Tanjung Malim manfaat tenaga solar

TANJUNG MALIM: PROTON melancarkan inisiatif tenaga solar di kilang Tanjung Malim, Perak yang berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik sebanyak RM4.39 juta setahun.

Projek itu juga akan membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun.

Pengarah Pelaburan dan Promosi PROTON, Mohd Khalid Yusof, berkata panel solar itu diletakkan di tempat letak kereta yang memainkan dua fungsi dalam satu masa.

Katanya, tempat letak kereta berpusat PROTON yang meliputi kawasan seluas 9.47 hektar itu turut menyediakan ruang parkir untuk 2,880 kereta dan akan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan kepada pengedar dan cawangan di seluruh negara.

"Ruang ini kini diliputi oleh 20,544 panel solar dwi-muka yang boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel.

"Ia juga menyediakan tempat berteduh bagi meletakkan dan melindungi kereta yang baru dihasilkan daripada mengalami kerosakan.

"Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar dwi-muka di tempat letak kereta terbesar di Malaysia berserta panel solar yang dipasang di atas bumbung kilang ialah 12MWp (puncak Megawatt), cukup untuk memenuhi sehingga 25 daripada penggunaan kuasa kilang ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis lawatan media ke inisiatif tenaga solar PROTON di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Pekat Solar Sdn Bhd, Wee Chek Aik dan Pengarah MFP Solar Sdn Bhd, Goh Chin San.

Dibina dan ditauliahkan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar, kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp.

Kemudahan itu adalah yang terbesar seumpamanya di Malaysia dan juga antara semua pengeluar kereta di negara ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, kemudahan panel solar PROTON adalah sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu Malaysia memenuhi sasaran kerajaan untuk menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

"Selain daripada penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan 11,536 tan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim," katanya.

Sementara itu, Chek Aik berkata, projek itu dibiayai menerusi pelaburan lebih Rm30 juta menggunakan kaedah guna serah (BOT).

Katanya, PROTON akan membeli tenaga elektrik yang dijana daripada panel solar yang dibina pihaknya menerusi perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun.

"PROTON akan membeli tenaga daripada kami pada kadar 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada kadar tarif semasa.

"Jadi, ini sudah tentu menguntungkan PROTON apabila mereka dapat menikmati penjimatan dari segi bil elektrik menerusi kaedah ini," katanya.

Berita Harian X