Rabu, 9 March 2022 | 1:14pm

Hyundai IONIQ 5 diperkenal, harga bermula RM199,888

KUALA LUMPUR: Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) memperkenalkan model elektrik terbaharunya, IONIQ 5 Crossover Utility Vehicle (CUV) yang tampil dengan ciri inovatif untuk mentakrif semula gaya hidup mobiliti elektrik di Malaysia.

Model CUV baharu elektrik sepenuhnya hadir dengan tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max ditawarkan bermula RM199,888, harga atas jalan tanpa insurans dan dikecualikan sepenuhnya daripada duti import dan eksais, cukai jualan serta cukai jalan seperti yang diumumkan di bawah Bajet 2022.

Semua tiga varian IONIQ 5 menyediakan julat yang luar biasa, pengecasan pantas dan kelajuan tertinggi 185 kilometer sejam (km/j).

Menurut HSDM, ia menjadi kenderaan elektrik (EV) kedua yang dilancarkan di Malaysia oleh syarikat itu selepas pengenalan Kona Electric tahun lalu.

Ruang depan Hyundai IONIQ 5
Ruang depan Hyundai IONIQ 5

Pengarah Urusan, Peruncitan dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia, Jeffrey Gan, berkata Hyundai sedang membuka jalan ke arah pemilikan EV mampu milik.

"Akan terdapat lebih banyak EV dalam barisan kenderaan oleh pelbagai jenama di bawah Sime Darby Motors kerana kami berhasrat untuk menerajui usaha Malaysia ke arah mobiliti rendah karbon dengan rangkaian produk, perkhidmatan dan keupayaan merentas rantaian nilai automotif bagi menyokong rancangan EV negara," katanya semasa melancarkan IONIQ 5 CUV di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan HSDM, Low Yuan Lung, berkata IONIQ 5 meraih jualan memberangsangkan di kebanyakan negara dan syarikat itu yakin reka bentuk futuristik CUV elektrik sepenuhnya itu akan menarik minat rakyat Malaysia.

"Ia sememangnya CUV elektrik terbaik untuk dimiliki dengan prestasi terbaik dalam kelasnya, julat, ciri keselamatan lengkap termasuk suite Smartsense dan kelajuan pengecasan yang sangat pantas," katanya.

IONIQ 5 Lite dan Plus 2, iaitu varian pacuan dua roda (2WD) dilengkapi dengan pek bateri 58 kWj manakala varian Max pacuan semua roda (AWD) menyediakan julat yang lebih panjang dengan pek bateri 72.6 kWj.

Dibina menerusi seni bina Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) khusus Hyundai iaitu Platform Modular Elektrik-Global (E-GMP), IONIQ 5 menyokong kedua-dua infrastruktur pengecasan 400-V dan 800-V.

Platform berkenaan menawarkan keupayaan pengecasan 800-V sebagai standard, bersama-sama dengan pengecasan 400-V, tanpa memerlukan komponen atau penyesuai tambahan.

Dengan pengecas DC 50-kW, IONIQ 5 boleh mengecas daripada 10 peratus hingga 80 peratus dalam masa 47 minit sahaja.

Ruang tempat duduk Hyundai IONIQ 5
Ruang tempat duduk Hyundai IONIQ 5

Pengecas AC rumah standard 11 kW boleh mengecas dari 0 hingga 100 peratus dalam masa 6.1 jam.

Menjengah ke dalam kabin, IONIQ 5 menawarkan reka bentuk dalaman bertema 'Living Space' yang inovatif dengan bahan mesra alam dalam banyak titik sentuh, prestasi kukuh dipadankan dengan pengecasan ultra-pantas dan fungsi kenderaan-untuk-muatan (V2L) yang boleh membekalkan kuasa sehingga 3.6 kW .

Ia juga dilengkapi dengan ciri ketersambungan dan bantuan pemandu yang canggih yang akan menawarkan pengalaman terbaik dalam kereta sambil memastikan keselamatan optimum.

Aspek luaran pula menyaksikan IONIQ 5 tampil dengan penakrifan semula reka bentuk abadi Hyundai Pony, yang mempunyai profil lebih dari jarak roda 3,000 milimeter (mm).

Tempahan IONIQ 5 boleh dibuat secara dalam talian menerusi platform beli-belah Hyundai iaitu Cl!ck to Buy (www.hyundai.com.my/clicktobuy/) atau mengunjungi mana-mana bilik pameran sah Hyundai.

Hyundai IONIQ 5
Hyundai IONIQ 5
Berita Harian X