Rabu, 16 Februari 2022 | 12:31pm
BMW X4 xDrive30i M Sport
BMW X4 xDrive30i M Sport

BMW perkenal varian baharu X3, X4 di Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia memperkenalkan tiga varian baharu BMW X3 bersama satu varian terbaharu BMW X4 untuk pasaran Malaysia.

Menurut BMW Malaysia, varian BMW X3 sDrive20i M Sport, BMW X3 xDrive30i M Sport dan BMW X3 xDrive30e M Sport bersama BMW X4 xDrive30i M Sport buat julung kali diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, sekali gus memaksimumkan kemampuan kuasa dan elektrifikasi jentera Sports Activity Vehicle (SAV) bersaiz sederhana dari keluarga BMW X.

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, berkata portfolio BMW X membina reputasinya di seluruh dunia buat sekian lama dan khususnya di Malaysia dalam pengeluaran jentera SAV.

"Tahun lalu, portfolio BMW X merekodkan lebih 3,200 penyerahan di Malaysia menyumbang kepada lebih 38 peratus daripada bilangan penyerahan yang dibuat oleh jenama BMW.

"BMW Group Malaysia teruja untuk memperkenalkan jentera BMW X3 berelektrik yang dipasang di dalam negara buat kali pertama, di samping menyediakan pelbagai opsyen rangkaian kuasa bagi mereka yang ingin merasai pengalaman pemanduan yang berbeza," katanya dalam satu kenyataan.

Dinamakan sebagai dua model yang paling popular di dunia, varian baharu BMW X3 dan BMW X4 bakal menaikkan tanda aras dalam segmen SAV premium dengan reka bentuk sporty yang canggih, pelbagai ciri dan perwatakan pemanduan yang terkini.

Ia dilengkapi rangkaian kuasa tambahan untuk menterjemahkan pengalaman pemanduan sempurna yang dijanjikan oleh BMW dalam pelbagai segi.

BMW X3 baharu akan hadir dalam dua varian petrol iaitu sDrive20i dan xDrive30i, di samping varian berelektrik, xDrive30e.

BMW X3 sDrive20i dan BMW X3 xDrive30i baharu ialah enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder yang mampu menjana output maksimum berjumlah 184 kuasa kuda (hp) dan tork puncak 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 hp dengan tork bernilai 350 Nm bagi xDrive30i.

BMW X3 sDrive20i berupaya untuk membuat pecutan abad dalam masa 8.2 saat, dan merekodkan kelajuan tertinggi mencecah 215 kilometer sejam (km/j), manakala BMW X3 xDrive30i mampu memecut dari 0-100 kilometer (km) dalam masa 6.3 saat pada kelajuan tertinggi mencecah 240 km/j.

Harga jualan bagi varian BMW X3 dan BMW X4 yang baharu dengan BMW Service and Repair Inclusive, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas jalan, tanpa insurans) ialah BMW X3 sDrive20i M Sport Baharu (RM315,800); BMW X3 xDrive30i M Sport Baharu (RM358,800); BMW X3 xDrive30e M Sport Baharu (RM356,800); dan BMW X4 xDrive30i M Sport Baharu (RM398,800).

Berita Harian X