Khamis, 3 Februari 2022 | 2:50pm
Rancangan elektrifikasi komprehensif Volvo Car Malaysia (VCM) akan dibentang bulan depan - Foto hiasan
Rancangan elektrifikasi komprehensif Volvo Car Malaysia (VCM) akan dibentang bulan depan - Foto hiasan

Volvo mahu tampil lebih banyak EV di Malaysia

KUALA LUMPUR: Volvo Car Malaysia (VCM) akan membentangkan rancangan elektrifikasi komprehensif pada Mac ini bagi mengukuhkan tawaran kereta elektrik (EV) di Malaysia.

Ia sejajar dengan sasaran jenama kereta dari Sweden itu untuk menjadi pengeluar EV sepenuhnya pada peringkat global menjelang 2030.

Pengarah Urusannya, Charles Frump, berkata VCM akan memperkenalkan barisan pelan perniagaan spesifik untuk memacu jualan 50 peratus EV menjelang 2025.

Katanya, jenama itu yakin pelanggannya di Malaysia sudah bersedia untuk menggunakan EV dengan isu infrastruktur, termasuk penggunaan pengecas biasa tidak menjadi masalah kepada pelanggan mewah yang masih kecil di negara ini.

"Saya memiliki pandangan berbeza. Ramai bertanya sama ada pasaran sudah bersedia, tetapi saya melihat pelanggan global sudah bersedia sebagai pengguna awal.

"Kami memiliki banyak produk hebat dengan EV penuh akan datang. Kami akan melaksanakannya dengan lebih pantas di Malaysia," katanya kepada BH.

Baru-baru ini, VCM memperkenalkan model Volvo V60 Recharge T8 baharu, model estate plug-in hibrid (PHEV) versatil dan moden yang mengimbangi prestasi dan fungsi dinamik.

Gabungan teknologi plug-in hibrid, ruang dan ciri serba boleh memberikan kedudukan yang selesa untuk V60 Recharge T8 di pasaran, pada masa sama, turut memainkan peranan dalam memperkukuhkan jenama Volvo sebagai pengeluar kereta mewah dan versatil yang direka untuk memenuhi keperluan pengguna.

Enjin petrol Drive-E V60 Recharge T8 dilengkapi dengan pengecas turbo dan pengecas super yang menghasilkan output 320 kuasa kuda (hp) dan tork 400Nm, manakala gabungan motor elektrik menghasilkan output maksimum 407hp dan 640Nm tork.

PHEV serba boleh ini juga mengeluarkan pelepasan karbon dioksida yang sangat rendah apabila dalam mod tulen dan boleh bergerak sehingga 49 kilometer dengan sekali cas penuh.

Model Volvo V60 Recharge T8 yang ditawarkan pada harga bermula RM287,474.00 boleh dilihat dan ditempah di semua pengedar Volvo yang sah di seluruh negara.

Langkah kerajaan melaksanakan insentif dalam memacu sektor EV menerusi Bajet 2022, termasuk pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan disifatkan sebagai pemangkin bagi menjana permintaan serta pasaran kenderaan sedemikian.

Ia akan menyokong pembangunan ekosistem kenderaan EV dan membuka lebih banyak peluang pelaburan hijau baharu.

Insentif berkaitan kenderaan EV itu juga akan menyokong pembangunan teknologi hijau dan rendah karbon serta pekerjaan hijau berkemahiran tinggi di Malaysia.

Malah, insentif kenderaan EV dilihat mampu menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) serta membantu meningkatkan indeks kualiti udara negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat Oktober lalu, berkata kerajaan bercadang untuk memberikan pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi kenderaan EV untuk menyokong pembangunan industri EV tempatan.

Tengku Zafrul berkata, pengecualian cukai jalan sehingga 100 peratus juga diberikan kepada kenderaan EV, di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Berita Harian X