KUALA LUMPUR: Toyota merampas kedudukan jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia apabila menjual 72,394 unit kenderaan tahun lalu.
Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai jenama nombor satu di Malaysia meskipun jualannya sepanjang 2021 mencatatkan penurunan 13.6 peratus kepada 220,154 unit.
Ini diikuti oleh PROTON yang menyaksikan pegangannya dalam pasaran tempatan meningkat kepada 22.7 peratus tahun lalu, selain mencatatkan prestasi jualan terbaik sejak 2014.
Honda sebelum ini mengungguli segmen bukan nasional di negara ini selama enam tahun berturut-turut.
Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran, berkata penguasaan Toyota bukan sekadar dalam segmen bukan nasional, malah jenama terkemuka Jepun itu turut unggul dalam segmen B, pikap dan hatchback.
"Ini adalah pencapaian yang menakjubkan kerana memecahkan rekod jumlah jualan 2020 sebanyak 59,320 atau peningkatan 22 peratus.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan pelanggan setia atas sokongan berterusan mereka terhadap jenama kami dan memilih Toyota sebagai teman pilihan di jalan raya.
"Walaupun sebahagian besar 2021 menjadi tahun yang agak mencabar bagi kebanyakan sektor, termasuk automotif, pasukan di Toyota menunjukkan daya tahan dengan terus berinovasi untuk menawarkan hanya penyelesaian mobiliti terbaik kepada pelanggan kami yang tidak sabar-sabar untuk kembali ke jalan raya selepas sekatan pergerakan berakhir pada Ogos," katanya dalam satu kenyataan.
Vios terus menjadi model terlaris Toyota yang menyumbang 31 peratus daripada jualan keseluruhan, manakala Hilux kekal sebagai trak pikap terlaris di Malaysia sejak 2005.
Bagi bulan terakhir 2021, UMW Toyota Motor menjual 9,289 unit, 0.5 peratus lebih tinggi berbanding 9,246 unit yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh bulan ke bulan, jualan UMW Toyota Motor 9.0 peratus lebih tinggi dan melepasi jumlah jualan 8,487 unit yang diraih pada November 2021.
Ravindran berkata, UMW Toyota Motor memulakan 2022 dengan perancangan menarik, termasuk menginovasi masa depan mobiliti dengan tumpuan kepada kelestarian.
"Permintaan untuk kenderaan lestari semakin meningkat dengan peralihan global ke arah amalan bersih dan mampan.
"Di peringkat tempatan, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memberi tumpuan kepada memacu negara kita menjadi sebuah negara neutral karbon menjelang 2050 dan mencapai pertumbuhan yang mampan.
"Toyota berada di landasan yang betul dengan agenda hijau, menerajui barisan hadapan teknologi Hybrid Electric dengan lebih daripada 18 juta kenderaan terjual sehingga kini dan menawarkan 45 kenderaan elektrik hibrid (HEV) berbeza dalam pasaran," katanya.
Ia termasuk kenderaan hibrid pemasangan tempatan pertama UMW Toyota Motor, Toyota Corolla Cross Hybrid yang dilancarkan baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, ketika Toyota terus berinovasi, syarikat itu bercita-cita untuk meletakkan kenderaan cekap tenaga (EEV) sebagai arus perdana mobiliti dalam masa terdekat.
"Pelancaran Corolla Cross Hybrid baharu menandakan satu peristiwa penting bagi UMW Toyota Motor yang juga akan membuka laluan kepada industri pembuatan EEV di Malaysia," katanya.