Khamis, 16 Disember 2021 | 1:20pm
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser (dua dari kanan), bersama Pengarah Urusan Jualan dan Pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan (dua dari kiri); Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan (kiri); dan Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi ketika melancarkan infrastruktur pengecas pantas DC Fast Charger baharu di Auto Bavaria Ara Damansara
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser (dua dari kanan), bersama Pengarah Urusan Jualan dan Pengedaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan (dua dari kiri); Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan (kiri); dan Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi ketika melancarkan infrastruktur pengecas pantas DC Fast Charger baharu di Auto Bavaria Ara Damansara

BMW sedia pengecas pantas untuk EV

PETALING JAYA: BMW Group Malaysia memperkenalkan DC Fast Charger baharu yang dipasang di Auto Bavaria Ara Damansara buat pengguna awam, sebelum dipasang di pusat pengedaran BMW i yang lain di seluruh negara.

Pengarah Urusannya, Hans de Visser, berkata menjelang ketibaan barisan kenderaan BMW i generasi terbaharu, pengeluar kenderaan premium itu kekal komited menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia, selain Rapid-Charging DC Charger untuk pengecasan segera di pusat pengedaran terpilih di seluruh negara.

"Kami menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan hanya melalui portfolio kenderaan elektrik (EV), malah dengan memperluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.

"BMW Group Malaysia menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk mewujudkan ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro dan kami juga sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen bersama jaringan pengedar bukan saha untuk pemilik BMW dan MINI, malah pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.

"Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kebimbangan pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya yang membabitkan jarak operasi kenderaan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Auto Bavaria, Vi Thim Juan berkata, syarikat itu menyertai kumpulan pengedar yang pertama untuk merealisasikan visi elektrifikasi dengan memasang DC Fast Charger di premis bagi kegunaan awam.

"Pelanggan setia juga boleh mengunjungi pusat pengedaran kami dan menikmati pengalaman pemilikan elektrik yang dijanjikan kerana kami juga menggalas tanggungjawab bersama BMW Group Malaysia untuk menggiatkan peralihan ke arah mobiliti elektro di Malaysia," katanya.

BMW Group Malaysia menerajui mobiliti berelektrik di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang menyaksikan BMW i yang pertama diperkenalkan di Malaysia.

Sejak itu, lebih daripada 21,000 unit kenderaan BMW dan MINI elektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.

Berita Harian X