Isnin, 10 Mei 2021 | 4:58pm

Honda Malaysia serah City RS e-HEV kepada IMB

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia menyerahkan seunit Honda City RS e-HEV hybrid kepada Invest Melaka Bhd (IMB).

Penyerahan kenderaan itu, dibuat dengan kerjasama syarikat perkongsian kereta Socar, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Kereta terbabit diserahkan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum kepada Ketua Pegawai Eksekutif IMB Ramli Mohd Ali dalam majlis yang berlangsung di Menara MITC, Melaka.

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Sulaiman Md Ali yang juga jemaah eksekutif negeri.

"Bagi pihak Honda Malaysia, kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pihak yang meraikan IMB dan berpeluang menyumbang kepada perkembangan industri automotif tempatan.

"Kami komited dengan pasaran Malaysia dan pertumbuhan industri automotif di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia, kerajaan Melaka, IMB dan semua pelanggan kerana terus memberikan kepercayaan kepada kami," kata ujar Sarly.

Honda memulakan operasi di kilang Pegoh, Melaka pada tahun 2003 sebelum menambah barisan pengeluaran keduanya pada 2014.

Ketika ini, kapasiti pengeluaran Honda Malaysia mampu mencecah 100,000 unit kenderaan setahun dan kemudahan itu juga memiliki fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D), trek ujian dengan jarak 2.1 kilometer dan beberapa pusat pemeriksaan sebelum penghantaran.

 Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum (kiri) ketika menyampaikan replika kunci kepada Ketua Pegawai Eksekutif IMB Ramli Mohd Ali (dua kanan) sambil disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Sulaiman Md Ali (tengah).
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum (kiri) ketika menyampaikan replika kunci kepada Ketua Pegawai Eksekutif IMB Ramli Mohd Ali (dua kanan) sambil disaksikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Sulaiman Md Ali (tengah).

Berita Harian X