Jumaat, 16 April 2021 | 4:08pm
Pengenalan model baharu memacu jualan kenderaan pada Mac - Foto hiasan
Pengenalan model baharu memacu jualan kenderaan pada Mac - Foto hiasan

Jualan kenderaan di Malaysia terus meningkat

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan pada Mac melonjak 49 peratus kepada 63,878 unit berbanding 42,784 unit yang dicatatkan bulan sebelumnya.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dalam satu kenyataan berkata, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada Mac lebih tinggi berbanding 21,242 unit yang dicatatkan pada Mac tahun lalu, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan di seluruh negara.

"Jualan setakat Mac 2021 adalah 33 peratus lebih tinggi kepada 139,499 unit berbanding 105,253 unit yang diraih bagi tempoh sama tahun lalu.

"MAA melihat penghantaran cepat dilaksanakan oleh syarikat pengeluar yang memiliki tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 dan pengenalan model baharu memacu jualan pada Mac," katanya.

Pada Mac, kenderaan penumpang meraih jualan 56,478 unit, lebih tinggi berbanding 37,923 unit yang dicatatkan bulan sebelumnya dan peningkatan ketara berbanding 18,974 unit pada Mac 2020.

Bagi bulan dikaji, jualan kenderaan komersial juga lebih baik kepada 7,400 unit berbanding 4,861 unit pada Februari dan 2,268 pada Mac 2020.

Mengulas mengenai unjuran jualan April, MAA berkata, TIV pada bulan semasa dijangka kekal pada paras yang dicatatkan pada Mac lalu.

"Kempen promosi agresif yang berterusan oleh syarikat pengeluar kenderaan mendorong TIV yang positif pada April," katanya.

Bagi Mac, jumlah pengeluaran juga lebih tinggi kepada 62,221 unit berbanding 45,199 unit pada Februari dan jauh lebih baik berbanding 22,657 unit pada Mac 2020.

Dari segi pengeluaran juga, kenderaan penumpang mewakili 58,102 unit pada Mac, manakala kenderaan komersial berjumlah 4,119 unit.

Bagi tempoh tiga bulan tahun ini, sejumlah 147,086 unit kenderaan sudah dikeluarkan, lebih tinggi berbanding 108,444 unit dalam tempoh sama tahun lalu.

Berita Harian X