Rabu, 24 March 2021 | 4:11pm
Pengecualian SST akan terus mendorong minat belian terhadap kenderaan penumpang - NSTP/Aizuddin Saad
Pengecualian SST akan terus mendorong minat belian terhadap kenderaan penumpang - NSTP/Aizuddin Saad

Momentum jualan kenderaan dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: AmInvestment Research menjangka momentum jumlah jualan kenderaan yang kukuh akan berterusan sepanjang separuh pertama 2021.

Ia disokong oleh lanjutan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dari 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

"Kami yakin pengecualian SST akan terus mendorong minat belian terhadap kenderaan penumpang, terutama untuk jenama nasional, PROTON dan PERODUA," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada Februari 2021, sektor automotif mencatatkan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang baik sebanyak 42,800 unit, didorong terutama oleh jumlah pengunjung yang meningkat ke bilik pameran selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat di kebanyakan negeri di seluruh negara.

"Kami menjangka TIV Mac 2021 akan lebih tinggi dari segi bulan ke bulan disokong oleh perkhidmatan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disambung semula untuk semua jenis transaksi kenderaan.

"Kami mengekalkan pendirian 'overweight' ke atas sektor automotif dengan unjuran TIV tidak berubah sebanyak 575,000 unit pada 2021," katanya.

Sementara itu, Kenanga Research menjangka pelancaran baharu seperti Perodua ATIVA, Proton X50, Honda City dan Nissan Almera dapat membantu memacu jualan bersama dengan tunggakan tempahan.

Ia, katanya, terus didorong oleh lanjutan pengecualian SST hingga 30 Jun 2021, promosi bermusim dan lebih banyak pelancaran baharu dijangka pada separuh kedua tahun ini.

"Secara keseluruhannya, 2021 berpotensi menjadi tahun yang lebih baik bersama dengan program insentif yang lebih baik di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020, impak positif daripada penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah awal yang mengurangkan impak COVID-19.

"Kami melihat bahawa jangkaan pemulihan pertumbuhan global dan impak daripada rangsangan fiskal yang besar kepada ekonomi domestik akan membawa kepada unjuran peningkatan semula pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus pada 2021," katanya dalam nota berasingan hari ini.

Kenanga Research turut mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor itu dengan sasaran TIV 2021 sebanyak 585,000 unit.

-BERNAMA

Berita Harian X