Isnin, 22 March 2021 | 2:29pm
Pengecualian duti eksais sehingga 100 peratus dikhususkan untuk motosikal pemasangan tempatan (CKD) dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah - NSTP/Asyraf Hamzah
Pengecualian duti eksais sehingga 100 peratus dikhususkan untuk motosikal pemasangan tempatan (CKD) dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah - NSTP/Asyraf Hamzah

Pengecualian duti eksais pacu jualan motosikal CKD

KUALA LUMPUR: Pengecualian duti eksais sehingga 100 peratus yang dikhususkan untuk motosikal pemasangan tempatan (CKD) dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah dijangka memacu jualan jentera dua roda di Malaysia tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata inisiatif yang bermula 1 April hingga 31 Disember seperti diumumkan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) adalah usaha terbaik mengembalikan prestasi jualan motosikal.

Katanya, jualan motosikal di negara ini susut kepada 498,327 unit tahun lalu, berbanding 546,813 unit pada 2019.

"Pengumuman mengenai pengecualian duti eksais, sama ada bagi pengguna motosikal atau perniagaan berdasarkan mobiliti diharap membawa manfaat kepada keperluan pengangkutan pembeli, ketika negara menghadapi kesukaran ekonomi semasa pandemik ini," katanya ketika dihubungi BH.

Dalam pakej rangsangan PEMERKASA, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan motosikal CKD dengan kapasiti enjin 150cc dan ke bawah akan diberi pengecualian 100 peratus duti eksais mulai 1 April hingga 31 Disember 2021.

Madani berkata, sama seperti pengecualian cukai jualan yang dilaksanakan bagi kereta pada Jun 2020, jualan kereta sedikit sebanyak dapat dikembalikan ke paras yang lebih selesa bagi meneruskan kelangsungan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun lalu, melepasi sasaran 500,000 unit pada akhir Disember 2020.

"Secara amnya, motosikal bukan lagi hanya digunakan sekadar kenderaan individu, malah menyaksikan perkembangan yang besar di dalam penggunaan penghantaran makanan dan barangan secara dalam talian.

"Perkembangan industri jualan dalam talian ini dilihat berkembang terutama sepanjang pandemik dan dijangka kekal sebagai satu industri selepas COVID-19 berakhir disebabkan keselesaan penggunaan perkhidmatannya oleh pengguna sepanjang tahun lalu," katanya.

Beliau menjelaskan, harga motosikal yang jauh lebih rendah berbanding kereta membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk berkecimpung dalam sektor penghantaran dalam talian terutama golongan B40.

"MARii berpendapat bahawa langkah pengecualian duti eksais akan membantu memenuhi keperluan norma baharu ini," katanya.

Sementara itu, penganalisis automotif, Hezeri Samsuri berkata, pengecualian duti eksais motosikal pastinya membantu mereka yang memerlukan kenderaan ringkas dan mampu milik.

Katanya, dengan jumlah duti eksais motosikal 150cc ke bawah kira-kira 20 peratus, pastinya harga jentera dua roda itu akan turun sedikit.

"Penurunan harga boleh dijangka tetapi tidak semudah dengan mengurangkan jumlah 20 peratus daripada harga jualan kerana eksais duti adalah ke atas harga kenderaan dari pengilang, tanpa kos lain seperti margin keuntungan, pendaftaran dan insurans," katanya.

Hezeri berkata, bagi motosikal, penurunan harga agak sukar kerana industri berkenaan mempraktikkan konsep pasaran terbuka.

"Harga jualan motosikal sebenar ditentukan oleh pengedar. Mereka boleh menaikkan harga mengikut kehendak pasaran atau menurunkannya jika mereka mahu.

"Pihak pengeluar tidak mempunyai kawalan mutlak ke atas harga jualan di kedai kerana pengedar motosikal Malaysia kebanyakannya adalah pengedar pelbagai jenama. Pengeluar risau jika terlalu tegas, pengedar tidak mahu menjual motosikal jenama mereka.

"Saya berharap agar pihak kerajaan faham situasi sebenar yang dialami oleh rakyat kerana pengecualian eksais duti ini mungkin tidak dirasakan oleh rakyat, tetapi akan hanya menguntungkan penjual motosikal sekiranya tidak ada kawalan dilakukan," katanya.

Berita Harian X