Khamis, 18 March 2021 | 9:08pm

'Raja Jalanan' baharu Yamaha Y16ZR dilancarkan, RM10,888

KUALA LUMPUR: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan model moped paling dinanti-nantikan, Yamaha Y16ZR serba baharu, 'Raja Jalanan' baharu paling berkuasa dalam kelasnya.

Dijana dengan enjin paling berkuasa 155cc, Yamaha Y16ZR ditawarkan pada harga bermula RM10,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran,

Moped yang dijangka mula berada di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara mulai 31 Mac ini ditawarkan dengan tiga warna menarik iaitu Phantom Grey, Arrow Blue dan Raging Yellow.

Menyentuh mengenai jentera, Yamaha Y16ZR menggunakan enjin 4-lejangm 4-injap SOHC 155c sejukan cecair dengan Variable Valve Actuation (VVA).

Dengan jentera yang dimiliki, model terbahru yang bakal menjadi fenomena baharu Yamaha ini didatangkan dengan kotak gear 6-kelajuan yang mampu menghasilkan 17.7 kuasa kuda (hp) pada 9,500 rpm dan tork maksimum 14.4 Nm pada 8,000 rpm.

Seperti kebanyakan model terbaharu Yamaha, model Y16ZR juga tampil dengan sistem klac Assist & Slipper yang membantu mengurangkan tahap beban klac dan membolehkan pertukaran rendah gear lebih mudah.

Bagi memastikan tahap tunggangan lebih selesa, Clutch Lever Handle model ini direka 10 milimeter (mm) lebih pendek berbanding 'adiknya' Yamaha Y15ZR yang mana memberi cengkaman ketika menukar gear.

Dari segi pengendalian pula, Yamaha Y16ZR hadir dengan bingkai baharu kukuh tetapi ringan yang menampilkan 'kolar' tetulang berbentuk 'Y' dan 'mount' enjin lebih tirus 4.5mm yang mana membolehkan prestasi mengambil selekoh lebih baik terutama pada kelajuan tinggi.

Menyentuh mengenai sistem brek pula, model ini menggunakan sistem brek depan 2-pot kaliper baharu yang menawarkan kuasa berhenti lebih padu menerusi cakera depan 245mm.

Dari segi rekaan pula, Yamaha Y16ZR tampil dengan gaya dan inovasi termasuk lampu depan LED yang mengetengahkan gaya lebih sporty.

Rekaan belakang pula menyaksikan lampu gaya baharu yang lebih sempit tetapi memanjang dan digayakan dengan R-DNA yang menghasilkan penyatuan sempurna pada kontur badan.

Dari segi panel digital pula, Yamaha Y16ZR menggunakan LCD pelbagai fungsi yang mengandungi 'speedometer', takometer, petunjuk gear, petunjuk VVA dan lain-lain.

Lebih menarik, model ini juga menggunakan tombol penghidup tanpa kemasukan kunci sekali gus menjadi sistem kunci pintar kelas pertama yang memiliki fungsi 'panggilan-balik' bagi menentukan kedudukan motosikal.

Ia juga hadir dengan immobilizer sebagai pencegah kecurian, sementara suis 'cut-off' enjin baharu disediakan dan digabungkan pada panel suis utama untuk kegunaan kecemasan.

Seperti skuter, Yamaha Y16ZR turut didatangkan dengan soket DC 12V dengan kapasiti maksimum 1.0A untuk mengecas peranti pintar.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Bhd, Datuk Jim Khor, berkata Yamaha Y16ZR serba baharu itu dilengkapi dengan pelbagai ciri istimewa baharu dan sesuai dengan DNA Yamaha yang sinonim dengan Prestasi, Gaya dan Inovasi.

"Dengan banyak ciri khas canggih yang tersedia pada model ini, saya yakin bahawa Yamaha Y16ZR serba baru berpotensi menjadi model yang sangat disukai oleh rakyat Malaysia untuk tahun-tahun mendatang," katanya ketika melancarkan model itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Lebih manis, HLYM turut menawarkan berita baik untuk 5,000 pembeli pertama Yamaha Y16ZR. Ia termasuk 'pouch' kunci rekaan Royal Selangor percuma di mana nama pemilik dan nombor pendaftaran akan dicetak pada pouch berkenaan.

Berita Harian X