Rabu, 17 March 2021 | 8:15pm
Jualan kenderaan dijangka terus meningkat bulan ini - Foto hiasan
Jualan kenderaan dijangka terus meningkat bulan ini - Foto hiasan

Jualan kenderaan meningkat pada Februari

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan di Malaysia meningkat 4.13 peratus kepada 42.784 unit pada Februari tahun ini daripada 41.088 unit pada bulan yang sama tahun lalu, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

MAA dalam satu kenyataan hari ini berkata, jualan kenderaan penumpang naik kepada 37,923 unit pada Februari 2021 berbanding 37,359 pada Februari 2020 dan jualan kenderaan komersial melonjak kepada 4,861 unit pada bulan yang dikaji daripada 3,729 unit sebelumnya.

Berdasarkan bulan ke bulan, jumlah jualan bagi Februari 2021 adalah 30 peratus lebih tinggi daripada Januari 2021 kerana jumlah pengunjung ke bilik pameran menunjukkan banyak peningkatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri ditamatkan, katanya.

Daripada segi jumlah pengeluaran, MAA berkata 45,199 kenderaan dikeluarkan pada Februari 2021 berbanding 40,371 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

Ia berkata pengeluaran kenderaan penumpang melonjak kepada 41,301 unit pada Februari, 2021 berbanding 37,893 pada Februari, 2020, manakala pengeluaran kenderaan komersial juga naik kepada 3,898 unit daripada 2,478 unit sebelumnya.

Mengenai prospek untuk Mac 2021, MAA berkata, ia menjangkakan jumlah jualan akan lebih tinggi daripada pada bulan Februari, 2021 kerana syarikat membuat penghantaran memandangkan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021 dan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disambung semula untuk semua jenis urus niaga kenderaan.

-BERNAMA

Berita Harian X