Jumaat, 12 March 2021 | 12:17pm
Proton Holdings Bhd (PROTON)
Proton Holdings Bhd (PROTON)

Momentum transformasi PROTON semakin meningkat

KUALA LUMPUR: Tinjauan terhadap DRB-Hicom Bhd kekal positif apabila transformasi anak syarikat 50.1 peratus miliknya, Proton Holdings Bhd (PROTON) semakin meraih momentum.

Penganalisis CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam, berkata PROTON merancang untuk memperkenalkan enam ke tujuh model berasaskan integrasi teknologi baharu dan program pembangunan bersama dalam tempoh tujuh tahun akan datang sebagai sebahagian strategi jangka pertengahan.

"Kumpulan sedang meningkatkan pengeluaran (model) X50 dan X70 di Tanjung Malim bagi menampung permintaan yang kukuh.

"Pihak pengurusan memberi petunjuk bahawa kedua-dua model itu masing-masing mempunyai tempahan tertunggak antara tiga ke empat bulan," katanya dalam satu nota selepas menghadiri panggilan persidangan pasca keputusan kewangan DRB-Hicom.

Beliau berkata, walaupun DRB-Hicom tidak memberikan panduan jualan, ia menjangkakan PROTON akan mengatasi sasaran Persatuan Automotif Malaysia iaitu perymbuhan lapan peratus jualan pada 2021.

Katanya, PROTON turut menyasarkan untuk mengembangkan pasaran eksport, yang merangkumi kira-kira dua peratus jumlah jualannya tahun lalu, dengan rancangan menggandakan eksport tahun ini susulan pelancaran X70 di Brunei dan Pakistan, selain bermulanya operasi pengeluaran di Kenya tahun lalu.

"Sementara itu, PROTON masih mengkaji dan meneroka peluang kerjasama untuk menembusi pasaran Thailad dan Indonesia. Kami percaya ini boleh menjadi pemangkin utama pertumbuhan eksport," katanya.

Mohd Shanaz berkata, PROTON terus mengukuhkan kedudukannya di rantau ini, dengan 5.9 peratus penguasaan pasaran pada akhir 2020.

Katanya, ini meletakkan PROTON dalam kalangan enam jenama automotif terbesar dalam pasaran gabungan Malaysia, Indonesia dan Thailand.

"Di bawah strategi transformasi, PROTON menyasar untuk menjadi pemain ketiga terbesar di Asia Tenggara menjelang 2027," katanya.

CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap saham DRB-Hicom dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.36.

Berita Harian X