Khamis, 11 March 2021 | 3:58pm

Penasihat jualan PERODUA tidak sah tipu wang pendahuluan

KUALA LUMPUR: PERODUA meminta pelanggannya yang sedia ada dan baharu untuk hanya berurusan dengan penasihat jualannya yang sah agar tidak terpedaya memberi wang pendahuluan pembelian kereta.

Penipuan berkenaan muncul terutama sekali selepas pelancaran Perodua Ativa pada 3 Mac lalu.

"Kami telah menemui sekurang-kurangnya dua tawaran rebat palsu dalam talian bagi Perodua Ativa yang baru dilancarkan.

"Perodua dan cawangan-cawangan kami di seluruh negara tidak pernah dan tidak akan mengadakan sebarang promosi rebat tunai selepas memperkenalkan model baharu kami," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Menurut beliau, ada beberapa individu yang tidak bertanggungjawab telah mendakwa diri mereka sebagai penasihat jualan Perodua dan memperdaya mangsa untuk memasukkan wang pendahuluan pembelian kereta baharu mereka ke dalam akaun bank peribadi.

PERODUA meminta pelanggan hubungi atau kunjungi Pusat Jualan Perodua yang sah untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatannya, atau layari www.perodua.com.my atau mana-mana halaman media sosial rasminya di Facebook dan Instagram.

Berita Harian X