Sabtu, 2 Januari 2021 | 10:00am
FXDR 114 boleh dikatakan cruiser yang ringan iaitu 302 kg, lebih ringan berbanding Fat Bob, meskipun berat sedikit daripada Street Bob. - NSTP/Mahzir Mat Isa
FXDR 114 boleh dikatakan cruiser yang ringan iaitu 302 kg, lebih ringan berbanding Fat Bob, meskipun berat sedikit daripada Street Bob. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Dentuman padu Harley Davidson FXDR

KUALA LUMPUR: FXDR 114 mungkin menjadi model 'power cruiser' kontemporari keluaran Harley Davidson yang paling banyak mendapat kritikan oleh peminat motosikal berkenaan. Ini kerana pengeluarnya cuba menampilkan kelainan dengan penghasilan model yang dianggap lebih segar, dari segi rupa bentuk dan dilengkapi enjin baharu.

Pengenalan model serba baharu ini pada tahun lalu umpama satu manifestasi berani pengeluar motosikal ikonik itu dalam menguji pasaran dan kepada penulis, kritikan pengguna itu adalah sesuatu yang 'sihat' kepada syarikat berkenaan untuk kekal relevan dalam era semasa.

Harley Davidson berkata, FXDR adalah seperti 'jentera lumba drag digabungkan dengan jet pejuang' dan mereka membandingkan ia dengan model keluaran pesaing terdekatnya Indian Motorycles.

Namun kepada penulis, ia lebih mirip kepada model DNA Diavel keluaran Ducati dan sekilas pandang, model tempat duduk tunggal (setinggi 868.68 sentimeter) dengan tayar belakang yang amat lebar (240 milimeter), sentimen yang dibayangkan oleh Harley Davidson itu ada benarnya, dan motosikal ini sedia untuk bersaing dengan model sebaris dengannya.

Model Kesepuluh Softail

FXDR 114, yang mana adalah model ke-10 dibina berasaskan platform Softail selepas penamatan menamatkan pengeluaran model Dyna. Ia dilengkapi enjin baharu Milwaukee-Eight 114 (1,868cc) yang menghamburkan tork 160 Nm pada rpm 3500 (kuasa sekitar 90 hp pada rpm 4,500).

FXDR 114 pantas di jalan lurus, tangkas mengambil selekoh. - NSTP/Mahzir Mat Isa
FXDR 114 pantas di jalan lurus, tangkas mengambil selekoh. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Enjin dengan mounting rigid menampilkan reka bentuk kepala silinder 4-injap dan sensor dwi-ketukan, nisbah mampatan 10.0:1 dan dwi imbang-lawan (counter-balancer) untuk mengurangkan getaran ketika berkedudukan pegun.

Ia juga dilengkapi penapis udara unik menghadap ke hadapan, inspirasi daripada motosikal drag Harley Davidson, yang mana direka untuk mempertingkatkan aliran udara dan menggunakan bahan sintetik yang tidak mengecut terkena air hujan serta tidak perlu disapu minyak.

FXDR 114 menggunakan ekzos 2-dalam-1 yang menghasilkan ‘dentuman ikonik’ Harley Davidson. - NSTP/Mahzir Mat Isa
FXDR 114 menggunakan ekzos 2-dalam-1 yang menghasilkan ‘dentuman ikonik’ Harley Davidson. - NSTP/Mahzir Mat Isa

FXDR 114 menggunakan ekzos 2-dalam-1 yang menghasilkan 'dentuman ikonik' Harley Davidson yang pada penulis, sama sahaja seperti enjin sebelumnya. Berat kering FXDR 114 adalah 303 kilogram.

Cermin sisi FXDR 114. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Cermin sisi FXDR 114. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Panel pada lampu utama memberikan ciri aerodinamik menongkah angin. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Panel pada lampu utama memberikan ciri aerodinamik menongkah angin. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Cruiser ini menggunakan sistem LED penuh untuk lampu utama Daymaker dengan gegelang halo dan signal membelok. Ia turut dipadankan dengan penghidup tanpa kunci (keyless), Sistem Keselamatan Pintar dan palam pengecas USB.

Adaptasi Motosikal Drag

Panel pada lampu utama memberikan ciri aerodinamik menongkah angin, manakala saiz tangki minyak ditingkatkan kepada 16.7 liter tampak lebih panjang. Bahagian fairing mengambil ilham jentera lumba, dan belakang pendek mendedahkan tayar belakang drag yang lebar.

Cruiser berkuasa gabungan enjin Milwaukee-Eight 114 dengan casis ringan. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Cruiser berkuasa gabungan enjin Milwaukee-Eight 114 dengan casis ringan. - NSTP/Mahzir Mat Isa

FXDR 114 boleh dikatakan cruiser yang ringan iaitu 302 kg, lebih ringan berbanding Fat Bob, meskipun berat sedikit daripada Street Bob. Juga menarik pada model ini, ia dilengkapi hendal 'clip-on' yang sporty.

Berpeluang menunggang uji, motosikal ini terasa padu dan amat berkuasa. Sebaik sahaja pendikit dipulas, terasa leher penunggang keterbelakang susulan kuatnya tujahan tork.

FXDR dilengkapi penapis udara menghadap ke hadapan, inspirasi motosikal drag Harley Davidson yang direka untuk mempertingkatkan aliran udara. - NSTP/Mahzir Mat Isa
FXDR dilengkapi penapis udara menghadap ke hadapan, inspirasi motosikal drag Harley Davidson yang direka untuk mempertingkatkan aliran udara. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Penapis udara yang berbentuk baharunya pula menghasilkan bunyi sedutan udara yang amat kuat, berserta dentuman ekzosnya, ia cukup 'menghiburkan'.

Kuasa henti juga mantap. Dalam beberapa ketika, penulis melakukan 'hentian panik' iaitu dengan genggaman brek hadapan dan tekan brek belakang dengan sekuat mungkin, kuasa cengkaman pada cakera hadapan dan belakang amat padu, yang mana fork hadapan hanya mendap ke bawah sedikit sahaja dan tayar belakangnya pula tidak terangkat langsung.

Tunggangan Stabil

Tayar belakang yang lebar juga membuatkan tunggangan lebih stabil pada kelajuan tinggi, meskipun ia membuat membelok lebih 'berat' daripada biasa. Dalam pada itu, kedudukan ekzosnya yang agak tinggi, membuatkan ia tidak terseret atau bergesel di jalan raya ketika membelok pada kelajuan tinggi.

Tayar belakang lebar (240 milimeter). - NSTP/Mahzir Mat Isa
Tayar belakang lebar (240 milimeter). - NSTP/Mahzir Mat Isa

Tempat duduknya pula terasa padat dan selesa, sementara kedudukan penunggang yang menegak dan melunjur kaki ke hadapan mungkin agak kekok bagi bukan peminat cruiser atau penunggang baharu.

Penyerap hentakan belakang yang tersembunyi pula, terasa kemas dan stabil menyerap lekuk jalan tidak rata dan bonggol, begitu juga ketika mengambil selekoh.

Panel digital maklumat tunggangan yang terletak di tengah hendal ‘clip-on’. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Panel digital maklumat tunggangan yang terletak di tengah hendal ‘clip-on’. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Sementara itu, panel digital maklumat tunggangan yang terletak di tengah hendal 'clip-on' meskipun kecil tetapi jelas boleh dibaca, langsung tidak mengganggu tunggangan.

Kesimpulannya, FXDR 114 pantas di jalan lurus, tangkas mengambil selekoh. Prestasinya pula padu digabung dengan DNA perlumbaan drag. Tunggangannya pula pasti diiringi dentuman asli Harley Davidson yang ikonik sepanjang zaman.

FXDR adalah seperti ‘jentera lumba drag digabungkan dengan jet pejuang’. - NSTP/Mahzir Mat Isa
FXDR adalah seperti ‘jentera lumba drag digabungkan dengan jet pejuang’. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Spesifikasi:

Harley-Davidson FXDR 114

Harga: Bermula RM123,000

Enjin: Milwaukee-Eight 114 V-twin

Sesaran: 1868cc

Gerek/Lejang: 102mm x 114mm

Tork: 160nm @ 3500rpm

Injap: Cam tunggal; 4 injap setiap silinder

Penyejukan: Udara dan minyak

Transmisi: 6-kelajuan

Suspensi Depan: Fork USD kartrij tunggal 43mm dengan apit fork aluminum; spring tripel

Suspensi Belakang: Piston bebas, monoshock; lejang 43mm; boleh laras

Rim: Aluminium 5-jejari Ace

Tayar Depan: 19 inci x 3 inci

Tayar Belakang: 18 inci x 8 inci

Brek Depan: Dwi cakera 300mm, kaliper 4-piston tetap

Brek Belakang: Cakera 292mm, kaliper 2-piston apung

ABS: Standard

Jarak Roda: 1737mm

Kapasiti tangki: 16.6 liter

Anggaran bahan api: 19.5km/liter

Berat: 302kg

Berita Harian X