Rabu, 4 November 2020 | 3:03pm
UMW Toyota Motor (UMWT)
UMW Toyota Motor (UMWT)

UMWT catat jualan kenderaan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor (UMWT), anak syarikat milik penuh UMW Holdings Bhd mencatatkan jualan sebanyak 6,468 unit pada Oktober 2020, peningkatan 15.4 peratus daripada 5,605 unit pada September.

Dalam kenyataannya hari ini, UMW berkata penyumbang utama untuk Oktober adalah Toyota Vios, Yaris dan Hilux.

Pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan berkuatkuasa 15 Jun hingga 31 Disember tahun ini telah mendorong peningkatan jualan pada separuh kedua 2020.

Bahagian pasaran automotif kumpulan itu dianggarkan pada 58 peratus bagi Oktober, peningkatan ketara daripada 51.4 peratus yang dicatatkan pada 2019.

Berikutan penjualan yang memberangsangkan oleh UMWT dan syarikat bersekutu 38 peratusnya, Perodua pada bulan itu, UMW dijangka dapat mencapai sasaran jualan bagi 2020.

"Dengan penjualan sebanyak 43,807 unit bagi 10 bulan pertama 2020, UMWT dijangka dapat mencapai sasaran jualannya iaitu 53,000 unit untuk tahun ini," katanya.

Sementara itu, Perodua sekali lagi memecahkan rekod penjualan bulanannya pada Oktober dengan penjualan berdaftar kenderaan sebanyak 26,852 unit atau peningkatan 7.3 peratus daripada 25,035 unit pada bulan sebelumnya.

Menurut UMW, untuk 10 bulan pertama 2020, Perodua mencatatkan jualan sebanyak 171,864 unit atau 81.8 peratus daripada sasaran jualan 210,000 unit pada tahun ini dengan kedua-dua kilang pemasangan Perodua telah beroperasi dengan kapasiti pengeluaran hampir maksimum sejak Ogos untuk memenuhi permintaan yang tinggi.

"Kami yakin bahawa momentum penjualan yang memberangsangkan ini akan berterusan hingga akhir tahun ini untuk kami mencapai sasaran penjualan tahun ini," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW, Datuk Ahmad Fuaad Kenali.

Beliau berkata, kumpulan telah menunjukkan tahap pemulihan yang baik pada separuh kedua tahun ini dengan pengecualian cukai jualan oleh kerajaan untuk meningkatkan industri automotif tempatan berikutan gangguan yang disebabkan pandemik COVID-19.

-BERNAMA

Berita Harian X