Selasa, 10 Disember 2019 | 4:20pm
NAIB Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp hadir pada pelancaran generasi baharu Mercedes-Benz GLC di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
NAIB Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp hadir pada pelancaran generasi baharu Mercedes-Benz GLC di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Mercedes-Benz Malaysia sasar perkukuh kedudukan

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) menyasarkan untuk terus memperkukuhkan kedudukannya dalam segmen automotif premium pada tahun depan, dipacu dengan perkembangan positif dalam pemikiran dan sentimen pengguna.

Pengedar dan pemasang kenderaan penumpang Mercedes-Benz di Malaysia itu juga yakin untuk terus mengekalkan pertumbuhan dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) premium menerusi pelancaran generasi terbaharunya, Mercedes-Benz GLC.

Varian terbaharu berkenaan terdiri daripada Mercedes-Benz GLC 200, Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC dan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC Coupé, yang mana pemasangannya dibuat dalam negara.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Kenderaan Penumpang MBM, Michael Jopp, berkata pengeluar kereta dari Jerman itu telah menetapkan semula standard bagi segmen SUV mewah di Malaysia dengan menggabungkan tahap mobiliti dan inovasi yang berbeza.

“Sebagai sebahagian daripada strategi produk kami, barisan generasi terbaharu ini menawarkan lebih keselesaan dan pengalaman mewah melebihi apa yang diharapkan pelanggan kami.

“Ia juga menggabungkan keperluan, lebih praktikal serta meningkatkan prestasi pemanduan pengguna,” katanya pada pelancaran generasi baharu Mercedes-Benz GLC di sini, hari ini.

Harga jualan runcit bagi varian GLC 200 adalah RM299,888; GLC 300 4MATIC dianggarkan pada RM350,00 dan GLC 300 4MATIC Coupe pada RM419,888.

Mengulas lanjut, Jopp berkata, segmen SUV antara penyumbang kepada peningkatan jualan MBM kerana sentimen pengguna mula berubah.

“Meskipun Malaysia sedikit ketinggalan berbanding pasaran lain, tetapi pertumbuhan SUV dilihat semakin mengukuh.

“Justeru, melangkah ke hadapan kami yakin jualan SUV akan semakin meningkat. Kami memiliki rangkaian produk yang kukuh dan akan terus agresif untuk memperluaskan portfolio kami pada tahun depan,” katanya.

MBM sudah merekodkan jualan lebih daripada 6,500 unit GLC sejak dilancarkan pada Januari 2016.

Beliau berkata, 2019 adalah tahun yang mencabar tetapi pihaknya yakin 2020 akan menjadi tahun lebih baik dengan penampilan portfolio produk lebih baik dan peningkatan dalam sentimen pengguna.

Berita Harian X