Jumaat, 12 Julai 2019 | 4:45pm

China perkenal peraturan baharu babit kereta hibrid

BEIJING: China sedang menimbangkan untuk mengklasifikasikan semula kenderaan petrol-elektrik-hibrid bagi membolehkannya mendapat layanan lebih baik berbanding kenderaan petrol atau diesel sepenuhnya di bawah peraturan kereta mesra alam.

Ini menjadikannya lebih mudah untuk pengeluar kereta memenuhi kuota alam sekitar dan menawarkan lebih banyak pilihan.

Peneraju kenderaan hibrid global, Toyota Motor Corp dan Honda Motor Co Ltd akan menjadi antara penerima manfaat terbesar susulan daripada perubahan itu.

Ia akan membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak kereta hibrid dan mengurangkan pengeluaran kenderaan elektrik yang menelan kos lebih tinggi, kata pakar selepas menyemak draf cadangan dasar itu yang diterbitkan Selasa lalu oleh Kementerian Industri dan Teknologi Informasi.

China mempunyai beberapa peraturan yang paling ketat di dunia membabitkan kenderaan yang mengeluarkan gas rumah hijau, memandangkan ia bergelut untuk menangani pencemaran udara yang tidak sihat di bandar-bandarnya yang sesak.

Peraturan itu telah mendorong pengeluar kereta domestik dan antarabangsa untuk membelanjakan berbilion-bilion dolar dalam membangunkan dan mengeluarkan kenderaan tenaga baharu (NEV), seperti yang dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik dan sel bahan api hidrogen, serta hibrid ‘plug-in’.

Di bawah sistem yang bermula pada tahun ini, pengeluar kereta di China diwajibkan untuk menebus kembali sebahagian mata ‘negatif’ yang diperoleh apabila mengeluarkan kenderaan berasaskan enjin pembakaran dalaman dengan mata yang dimenangi daripada menghasilkan NEV.

Walaupun lebih cekap bahan api daripada kenderaan petrol dan diesel, kenderaan hibrid yang mula diperkenalkan pada tahun 1997 menerusi kemunculan Toyota Prius, ketika ini dikelaskan bersama-sama dengan kenderaan yang dikuasakan oleh bahan api fosil.

Dalam cadangan draf baharu itu, kenderaan hibrid masih dianggap sama kelas dengan bahan api fosil, tetapi dikelaskan semula sebagai ‘kenderaan penumpang yang menggunakan bahan api rendah’.

- Reuters

Berita Harian X