Rabu, 31 Mei 2017 | 7:00am

Volkswagen perkenal rangkaian ALLSTAR

Volkswagen Polo ALLSTAR.
Volkswagen Polo ALLSTAR.

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan rangkaian ALLSTAR terdiri daripada model Polo, Vento dan Jetta yang diubah suai, istimewa buat pelanggan yang ingin tampil berbeza.

Rangkaian ALLSTAR ini dimulakan dengan Polo ALLSTAR yang dilancarkan pada hujung minggu lalu, diikuti Vento ALLSTAR pada hujung bulan ini dan Jetta ALLSTAR pada Jun.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter, berkata pelancaran rangkaian ALLSTAR selari dengan misi VPCM untuk menawarkan produk Volkswagen bernilai tambah kepada rakyat Malaysia.

"Rangkaian ALLSTAR yang baru ini adalah rangkaian edisi khas model utama kami. Ia kini tampil lebih segar menerusi naik taraf kosmetik agar kelihatan menarik dan sporty.

"Rangkaian ALLSTAR juga menjadi siri inisiatif edisi khas yang kami rancang untuk lancarkan pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Polo ALLSTAR membuat penampilan pertama di acara Carlist.my MAA Drive pada 13 dan 14 Mei lalu di Setia City Convention Centre.

Semua bilik pameran Volkswagen di seluruh negara juga menganjurkan program pada 14 Mei lalu, di mana orang ramai boleh mengunjungi pengedar sah Volkswagen berhampiran untuk melihat Polo ALLSTAR dengan lebih dekat.

Polo ALLSTAR yang ditawarkan pada harga RM72,888, boleh didapati dengan pilihan warna kelabu (Carbon Steel Grey), perak (Reflex Silver), putih (Candy White) dan merah (Flash Red).

Model itu juga hadir bersama aksesori eksklusif bernilai RM6,000 yang merangkumi tempat duduk kulit, pedal aluminium, spoiler belakang, kemasan pintu berwarna hitam, plat sisi 'ALLSTAR', emblem dan karpet.

Polo ALLSTAR mengekalkan prestasi sama dengan Polo biasa apabila menggunakan enjin petrol 1.6MPI bersama sistem pancitan bahan api.

Enjin 16 injap Multi Point Injection (MPI) berkuasa 105PS itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik Tiptronic.

Kereta berkenaan mampu mencapai tork maksimum 153Nm pada putaran enjin serendah 3,800rpm dan penggunaan bahan api sekitar 6.3L bagi setiap 100km.

Polo ALLSTAR tampil dengan aksesori eksklusif.
Polo ALLSTAR tampil dengan aksesori eksklusif.

Info:
POLO ALLSTAR

  • Harga RM72,888
  • Tampil dengan aksesori eksklusif bernilai RM6,000 merangkumi tempat duduk kulit, pedal aluminium, spoiler belakang, kemasan pintu berwarna hitam, plat sisi 'ALLSTAR', emblem dan karpet
  • Pilihan warna kelabu (Carbon Steel Grey), perak (Reflex Silver), putih (Candy White) dan merah (Flash Red)
Berita Harian X