Sabtu, 27 Mei 2017 | 11:40am

MBM CV, HSCV lancar pusat 3S baharu

(DARI kiri) Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Bhd dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend; Naib Presiden Kenderaan Komersial Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee dan Ketua Pegawai Operasi Hap Seng Commercial Vehicle dan Hap Seng Star, Wong Leh Seng bergambar di depan Pusat 3S Kenderaan Komersial Hap Seng baharu di Ipoh, Perak.
(DARI kiri) Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Bhd dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend; Naib Presiden Kenderaan Komersial Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee dan Ketua Pegawai Operasi Hap Seng Commercial Vehicle dan Hap Seng Star, Wong Leh Seng bergambar di depan Pusat 3S Kenderaan Komersial Hap Seng baharu di Ipoh, Perak.

Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicles (MBM CV) dan pengedar sah, Hap Seng Commercial Vehicle (HSCV), melancarkan Pusat 3S Kenderaan Komersial Hap Seng baharu di Ipoh bagi kemudahan pemilik trak Mercedes-Benz di kawasan Utara Semenanjung.

Terletak strategik di kawasan industri Ipoh, Pusat 3S MBCV baharu itu memiliki kapasiti mengendalikan 150 kenderaan komersial sebulan.

Naib Presiden Kenderaan Komersial Mercedes-Benz Malaysia, Albert Yee, berkata MBM CV komited untuk terus membina kapasiti pengedarnya menerusi pembukaan lebih banyak pusat 3S CV pada masa depan.

Katanya, kemudahan baharu itu akan menyediakan perkhidmatan selepas jualan dan servis berkualiti tinggi, sejajar trak jenama itu yang dipercayai dari segi rekaan serta kecekapan ekonomi.

Beliau berkata, pusat 3S bagi kenderaan komersial baharu berkeluasan 0.23 hektar itu dilengkapi pelbagai kemudahan servis oleh pasukan pengurusan dan teknikal berpengalaman dalam jualan, pembaikpulihan, penyelenggaraan dan perkhidmatan kewangan.

"Pembukaan pusat 3S di Ipoh akan mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan di pasaran Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan yang sejajar dengan jaminan jenama Mercedes-Benz di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Setakat ini, MBM CV memiliki 15 pengedar rasmi seluruh negara, termasuk tambahan Pusat Kenderaan Komersial Hap Seng Mercedes-Benz Ipoh.

Sementara itu, MBM CV berkata, rancangan pengembangan selanjutnya dijangka dilaksanakan pada beberapa tahun akan datang bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

"Pusat 3S baharu ini akan meningkatkan lagi kedudukan kami bagi meneruskan langkah memperluaskan kehadiran kami di Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti yang sinonim dengan jenama Mercedes-Benz di peringkat global," kata Albert.

MBM CV, unit di bawah Daimler Commercial Vehicles turut dikenali dengan tawaran meluas termasuk trak Mercedes-Benz seperti Actros; van seperti Vito dan Sprinter yang biasanya digunakan untuk ambulans dan bas.

Selain itu, MBM CV juga memenuhi keperluan yang sederhana pasaran kenderaan komersial segmen melalui siri trak FUSO.

Info:

Pusat 3S Kenderaan Komersial Hap Seng

* Terletak di Ipoh

* Miliki kapasiti mengendalikan 150 kenderaan komersial sebulan

Berita Harian X