Rabu, 23 November 2016 | 2:51pm

Skuter EEV pertama di Malaysia, Beat, dilancar

HONDA Beat yang dilancarkan Boon Siew Honda di UKM, Bangi hari ini.
HONDA Beat yang dilancarkan Boon Siew Honda di UKM, Bangi hari ini.

BANGI: Boon Siew Honda Sdn Bhd melancarkan model skuter terbaharunya, Beat yang ditawarkan pada harga jualan asas termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) RM5,565.

Beat, motosikal automatik itu dikuasakan dengan enjin 110cc dengan Boon Siew Honda menyasarkan jualan kepada golongan pelajar dan remaja di antara usia 17 hingga 24 tahun.

Ia adalah skuter pertama di pasaran Malaysia yang menerima pengiktirafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Selain rekaan yang bergaya ia juga menawarkan teknologi terkini, kuasa enjin dipertingkatkan dan ciri keselamatan  terbaik seperti Sistem Brek Combi (CBS) yang memudahkan proses memberhentikan skuter pada cuaca panas atau hujan.

‎Lampu hadapan rekaan bergaya dengan lampu posisi menyerlahkan penampilan dan lampu belakang "Smoky" untuk lebih jelas ketika malam hari.

"Honda Beat direka untuk kesesuaian gaya hidup pelajar dan golongan dewasa yang bekerja untuk membeli motosikal pertama mereka," kata Pengarah Urusan Boon Siew Honda, Nobuhide Nagata ketika melancarkan Beat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi hari ini.

‎Boon Siew Honda menawarkan jaminan dua tahun atau 20,000 kilometer jaminan daripada pengeluar dan untuk promosi selama tiga bulan setiap pembelian akan diberi kad petrol percuma bernilai RM100.‎

Berita Harian X