Jumaat, 7 Oktober 2016 | 7:01am

Impak, pesona baharu Persona

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) ketika pelancaran generasi kedua Proton Persona 2016 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid
MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) ketika pelancaran generasi kedua Proton Persona 2016 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Rosdan Wahid

SELEPAS hampir sedekad, pengeluar kereta nasional PROTON menampilkan kembali antara model jualan terbaiknya, Persona ke pasaran tempatan dengan impak serta reka bentuk baharu yang lebih menawan.

Peluang menguji jentera sedan segmen B itu bersama Konvoi Pandu Uji Media ke Jengka dan Kuantan, Pahang baru-baru ini memberikan ruang kepada penulis untuk merasai sendiri prestasi kereta yang dilancarkan hujung bulan lalu.

Perjalanan sejauh 292 kilometer dari Pusat Kecemerlangan (COE) PROTON di Subang merentasi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) singgah sebentar di Jengka 19 bagi memenuhi program tanggungjawab sosial (CSR).

Perjalanan yang bersambung semula ke Hotel Swiss Garden, Kuantan untuk bermalam di sana berjaya membuktikan bahawa PROTON benar-benar serius dalam cubaannya menawarkan kereta yang berbaloi dimiliki.

Penulis sendiri adalah pemilik generasi Persona sebelumnya yang dilancarkan pada tahun 2007 dan peluang untuk merasai transformasi PROTON terhadap model ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencuba dua varian sepanjang perjalanan berkenaan iaitu varian manual, Standard MT dan juga Executive CVT.

Sebelum memulakan perjalanan dari COE ke Jengka, penulis sempat meneliti reka bentuk luaran Persona baharu yang menggunakan platform PROTON Iriz diperbesarkan serta berkongsi struktur asas dan enjin 1.6 liter.

CIRI asas menjadikan Persona agak menyerlah. - Foto Muhammad Sulaiman
CIRI asas menjadikan Persona agak menyerlah. - Foto Muhammad Sulaiman

Jelas sekali, PROTON menjadikan reka bentuk Persona dengan gaya tersendiri berbanding generasi terdahulu, malah tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ciri asas inilah yang menjadikan Persona kali ini agak menyerlah berbanding pesaing dalam kelas sama.

Persona baharu berukuran 4,387 mm panjang dengan lebar 1,722, menjadikannya hanya sedikit pendek berbanding kereta terpanjang dalam kelasnya, Honda City. Persona bagaimanapun adalah kereta paling lebar di dalam kelas sedan segmen B.

Pasukan reka bentuk PROTON jelas berusaha keras untuk menampilkan aura lebih segar terhadap Persona generasi baharu, sekali gus menjadikan model kali ini amat mudah dikenali sebagai wajah moden PROTON.

Lampu hadapan Persona dijadikan lebih nipis dan tajam, manakala palang krom di bahagian bonet yang menjadi identiti Persona generasi terdahulu direka bentuk bersaiz tegak penuh kali ini. Palang yang dipanggil 'Sayap PROTON' itu mencetuskan kesegaran kepada identiti Persona kali ini.

Pandu uji peringkat pertama yang dilalui penulis dari COE ke Jengka adalah menggunakan varian Standard MT secara berseorangan, berikutan terdapat lebihan kenderaan untuk diuji pada hari berkenaan.

Bagi sesetengah pemandu yang agak kurang menggunakan transmisi manual, mereka mungkin akan mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri dengan kaedah pemanduan berkenaan. Begitupun, penulis berpendapat transmisi manual yang disediakan oleh Persona masih berada dalam kategori 'selesa' digunakan.

SISTEM elektronik dan pemegang stereng Proton Persona 2016 yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
SISTEM elektronik dan pemegang stereng Proton Persona 2016 yang dilancarkan di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Antara ciri yang menarik minat penulis terhadap Persona generasi baharu ini adalah kemasan dalamannya yang kelihatan elegan meskipun kenderaan ini masih diletakkan dalam kategori 'kereta mampu milik' oleh PROTON.

Meskipun hampir menyamai model Iriz, secara umumnya ruang dalaman Persona boleh dipuji dari aspek cita rasa tinggi yang ditekankan oleh PROTON. Kabin pemanduan yang selesa untuk semua orang juga satu lagi ciri yang patut diberikan perhatian oleh bakal pembeli.

PROTON kali ini tidak menyediakan laras kepala di tempat duduk, dengan memberi penekanan kepada aspek ergonomik dan keselamatan sebagai alasan untuk tidak berbuat demikian. Bagi penulis, keputusan itu adalah tepat kerana kedudukan tempat duduknya bersesuaian dengan pelbagai bentuk fizikal pemandu.

Kedudukan kabin yang direka bentuk dengan cermat membolehkan pemanduan menjadi semakin selesa apabila semakin jauh penulis memandu.

Kemasan papan pemuka Persona juga boleh menjadi satu lagi nilai tambah kepada kereta ini, manakala kedudukan serta reka bentuk stering adalah amat bersesuaian dengan reka bentuk keseluruhan dalaman kereta.

Walaupun bahan yang digunakan bagi kemasan papan pemuka bukanlah premium dari segi harga, namun kesan yang dihasilkan cukup meyakinkan.

Dari segi pengendalian, tidak banyak isu yang boleh diperkatakan terhadap jentera baharu PROTON ini kerana kualiti sama seperti yang dirasai penulis dalam model generasi terdahulu berjaya dikekalkan kali ini, malah boleh dianggap jauh lebih baik.

PELANCARAN generasi kedua Proton Persona 2016 di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
PELANCARAN generasi kedua Proton Persona 2016 di Pusat Konvesyen Setia City, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

PERSONA ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu 'Graphite Grey', 'Fire Red', 'Sterling Silver', 'Cotton White', 'Midnight Black' dan warna eksklusif Persona, 'Carnelian Brown'. - Foto Muhammad Sulaiman
PERSONA ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu 'Graphite Grey', 'Fire Red', 'Sterling Silver', 'Cotton White', 'Midnight Black' dan warna eksklusif Persona, 'Carnelian Brown'. - Foto Muhammad Sulaiman

Sesi pandu uji peringkat kedua dari Jengka ke bandar Kuantan pula memerlukan media untuk menggunakan teknologi jimat bahan api dalam 'Cabaran Eco'.

Setiap kereta yang turut serta dalam cabaran berkenaan mempunyai tetapan yang sama, termasuklah kelajuan pendingin hawa diletakkan pada 'nombor 3'.

Teknologi Bantuan Eco ini membolehkan pemandu menjimatkan penggunaan bahan api dengan transmisi manual secara idealnya boleh mencapai penggunaan 5.6 liter bagi setiap 100 kilometer perjalanan, manakala transmisi automatik pula 6.1 liter.

Separuh daripada perjalanan penulis di dalam cabaran ini adalah menggunakan LPT sebelum melalui susur Sri Jaya untuk melalui Gambang menggunakan jalan dalam sebelum tiba di Kuantan.

Secara keseluruhan, penulis dan seorang lagi rakan media yang bergilir-gilir memandu berjaya mencatatkan purata penggunaan 6.0 liter bagi perjalanan di bawah tempoh dua jam. Angka itu agak membanggakan walaupun prestasi terbaik yang dicatatkan peserta lain adalah 5.4 liter.

Teknologi ini secara asasnya membantu pembantu untuk mengetahui cara pemanduan 'mesra bahan api' yang sebenarnya, termasuklah kaedah yang betul semasa mendaki bukit atau menuruni curam.

Secara keseluruhan, perjalanan sejauh 584 kilometer pergi dan balik itu benar-benar membuktikan bahawa PROTON begitu teliti dalam penghasilan sebuah kereta yang mampu memenuhi selera dan keperluan pemandu pada masa yang sama.

Persona ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu 'Graphite Grey', 'Fire Red', 'Sterling Silver', 'Cotton White', 'Midnight Black' dan warna eksklusif Persona, 'Carnelian Brown'.

INFO

Varian Proton Persona

Standard MT

Enjin: 1.6L 4 Cylinder DOHC 16V VVT

Transmisi: Manual 5 kelajuan

Kapasiti: 1,597 cc

Tork Maksimum: 150 (15.3) @ 4,000

Bahan api (liter/100 kilometer): 5.6

Harga: RM 46,800/ Metalik dan RM 46,350/ Solid

PROTON menampilkan kembali antara model jualan terbaiknya, Persona ke pasaran tempatan. - Foto Muhammad Sulaiman
PROTON menampilkan kembali antara model jualan terbaiknya, Persona ke pasaran tempatan. - Foto Muhammad Sulaiman

Standard CVT

Enjin: 1.6L 4 Cylinder DOHC 16V VVT

Transmisi: CVT Automatik

Kapasiti: 1,597 cc

Tork Maksimum: 150 (15.3) @ 4,000

Bahan api (liter/100 kilometer): 6.1

Harga: RM 49,800 / Metalik dan RM 49,350/ Solid

Executive CVT

Enjin: 1.6L 4 Cylinder DOHC 16V VVT

Transmisi: CVT Automatik

Kapasiti: 1,597 cc

Tork Maksimum: 150 (15.3) @ 4,000

Bahan api (liter/100 kilometer): 6.1

Harga: RM 55,800/ Metalik dan RM 55,350.00/ Solid

Premium CVT

Enjin: 1.6L 4 Cylinder DOHC 16V VVT

Transmisi: CVT Automatik

Kapasiti: 1,597 cc

Tork Maksimum: 150 (15.3) @ 4,000

Bahan api (liter/100 kilometer): 6.1

Harga: RM 59,800/ Metalik RM 59,350/ Solid

Berita Harian X