Ahad, 21 Ogos 2016 | 10:45am

Pengguna motosikal tidak sedar dibayangi maut

 ANTARA faktor motosikal menjadi pengangkutan popular ialah kerana harganya murah, kos bahan api/penyelenggaraan rendah serta dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya. - Foto hiasan/ NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
ANTARA faktor motosikal menjadi pengangkutan popular ialah kerana harganya murah, kos bahan api/penyelenggaraan rendah serta dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya. - Foto hiasan/ NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

KEBELAKANGAN ini, kita sering mendengar kemalangan membabitkan motosikal, tidak kira sama ada motosikal berkuasa tinggi, mahupun "kapcai" yang begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ramai mengaitkan punca peningkatan kemalangan motosikal disebabkan jumlah kenderaan terbabit yang begitu banyak di jalan raya. Mungkin ada kebenarannya, kerana berdasarkan perangkaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 12,094,790 motosikal selain 11,871,696 kereta didaftarkan sepanjang tahun lalu.

Antara faktor motosikal menjadi pengangkutan popular ialah kerana harganya murah, kos bahan api/penyelenggaraan rendah serta dapat mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Apapun, peningkatan kemalangan motosikal kebelakangan ini lebih disebabkan sikap penunggang dan pembonceng itu sendiri. Penunggang motosikal harus sedar, disebabkan kenderaan itu bersaiz kecil berbanding kenderaan lain, ia meletakkan mereka sering berdepan risiko tinggi terbabit dalam kemalangan.

Dengan hanya dilindungi topi keledar dan jaket, ia bukanlah perisai terbaik mengelakkan diri daripada sebarang kecederaan atau korban akibat kecelakaan di jalan raya.

Di kawasan bandar terutamanya, sudah menjadi kebiasaan melihat aksi penunggang motosikal mencelah antara kenderaan, melanggar lampu merah, membelok tanpa memberi isyarat, menunggang laju, mengekori kenderaan dalam jarak dekat, selain tidak mengikat tali topi keledar.

Ramai juga tidak memakai topi keledar terutama di kawasan perumahan dan kampung. Malah, menunggang dengan jumlah pembonceng melebihi had juga bukan sesuatu yang janggal. Itu belum lagi mengambil kira penunggang motosikal kalangan remaja yang kebanyakannya tidak ada lesen memandu.

Analisis data kemalangan maut menunjukkan lebih 65 peratus pengguna motosikal yang maut adalah golongan berumur antara 11 dan 30 tahun.

Justeru, bukan jumlah motosikal yang banyak menjadi penyebab meningkatnya kemalangan kenderaan terbabit, tetapi kurangnya kesedaran terhadap bahaya yang ada di hadapan mereka.

Justeru, sudah sampai masanya, penguatkuasaan lebih tegas perlu dilaksanakan pihak berkuasa bagi membendung peningkatan kemalangan motosikal. Pendekatan diguna pakai sekarang ternyata jelas kurang berkesan menangani masalah berkenaan.

Berita Harian X