Khamis, 21 Julai 2016 | 12:36pm

Mercedes-Benz kekal kereta mewah paling laris

 MERCEDES-BENZ Malaysia Sdn Bhd
MERCEDES-BENZ Malaysia Sdn Bhd

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd melengkapkan separuh pertama tahun ini dengan satu lagi catatan rekod baharu jualan sebanyak 6,017 unit kenderaan, pertumbuhan 17 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama ia juga mengekalkan kedudukan selaku peneraju segmen kenderaan mewah di negara ini dengan penguasaan pasaran 2.5 peratus setakat Jun lalu, mengekalkan rekod jualan dari segi unit untuk 16 bulan berturut-turut.

Mercedes-Benz Malaysia juga mencatat prestasi cemerlang baharu pada bulan Jun tahun ini apabila mencatatkan jualan bulanan terbaiknya iaitu 1,203 unit dan mencatat prestasi suku tahunan terbaiknya pada suku kedua tahun ini dengan jualan keseluruhan 3,359 unit.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia, Mark Raine, berkata prestasi suku tahunan dan separuh tahun terbaik itu disumbangkan oleh kejayaan strategi agresif produknya serta mengekalkan fokus dalam menyediakan pengalaman terhebat untuk pelanggan.

"Dengan pelancaran model kenderaan utiliti Sukan (SUV), C-Class dan E-Class baharu, kami yakin mampu meneruskan pertumbuhan yang dicatat ini," katanya dalam taklimat media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kunci utama kejayaan itu ialah kombinasi rangkaian produk yang komprehensif, rangkaian pengedar yang mantap dan strategi menumpukan kepada pelanggan dalam memberikan pengalaman terbaik untuk pelanggan.

Berita Harian X