Sabtu, 11 March 2017 | 12:01am

Aizat ambil risiko hasilkan lagu Fattah Amin

KUALA LUMPUR: Dihambat pelbagai pertikaian, terutama mengenai kredibiliti Fattah Amin sebagai penyanyi tetapi semua itu bukan halangan buat Aizat Amdan untuk menyumbang karyanya kepada pelakon berkenaan.

Meskipun pada awal agak ragu dengan kerjasama itu, Aizat bagaimanapun, sanggup mengambil risiko menyerahkan karya yang dihasilkan untuk dirinya kepada pelakon itu. Kesungguhan dan dedikasi pelakon berusia 27 tahun itu dalam mencabar kemampuannya menggerakkan hati Aizat untuk mencuba.

Membuang jauh segala persepsi, terutama terhadap bakat nyanyian Fattah, Aizat tertarik untuk menghasilkan karya seterusnya kepada pelakon itu kerana kagum dengan komitmennya.

"Saya serasi bekerjasama dengan Fattah. Saya mengetepikan segala pandangan orang yang mempertikai bakatnya kerana melihat kesungguhannya. Sebelum merakamkan single Wanita Terakhir, kami sempat menjalani tiga sesi latihan bersama.

AIZAT Amdan dan Fattah Amin. - Foto NSTP
AIZAT Amdan dan Fattah Amin. - Foto NSTP

"Saya lihat Fattah begitu komited, malah sanggup berlatih berulang kali untuk menjiwai lagu itu. Sikap positif ini lebih penting daripada memikirkan sama ada Fattah boleh menyanyi atau sebaliknya. Saya tertarik untuk bekerjasama lagi dengannya.

"Insya-Allah, saya akan menghasilkan single seterusnya untuk dinyanyikan Fattah sepanjang setahun ini," katanya.

Sedia bentuk penyanyi

Fenomena #lofattah yang semakin menular turut menjadi pemangkin kepada lagu yang pada asalnya berjudul Lara mendapat tempat di hati pendengar. Melihat sambutan di luar jangkaan peminat, hati Aizat tergerak untuk membuka lebih ruang dan peluang kepada artis yang berminat bekerjasama dengannya.

"Saya suka menghasilkan lagu, tetapi tiada siapa yang menyanyikannya. Idea bekerjasama dengan Fattah dicetuskan oleh abang saya, Anas dan dipersetujui pengurusan pelakon itu.

PELAKON, Fattah Amin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PELAKON, Fattah Amin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Fattah minat menyanyi, malah saya sempat menonton rakaman singlenya di YouTube tetapi lagu itu kurang bersesuaian dengannya. Melihat minat Fattah, saya tertarik untuk bekerjasama dan menghasilkan lagu yang serasi dengan laras vokalnya.

"Saya juga bersedia menghasilkan lagu untuk penyanyi lain. Apabila lagu saya diterima, saya dapat rasakan bakat saya dihargai. Melihat mereka bersungguh berlatih berulang kali, ia bagaikan penghargaan untuk saya," katanya.

Tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi dalam mencari anak didik, Aizat membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk dibentuk sebagai penyanyi. Baginya, minat dan jiwa itu penting kerana kerjaya seni bukan mainan.

AIZAT tertarik untuk menghasilkan karya seterusnya kepada Fattah kerana kagum dengan komitmennya. - Foto Mahzir Mat Isa
AIZAT tertarik untuk menghasilkan karya seterusnya kepada Fattah kerana kagum dengan komitmennya. - Foto Mahzir Mat Isa

Luah pengalaman di Jordan

Beralih perkembangan karier nyanyiannya, Aizat kini muncul bersama single terbaharu, duetnya bersama Faizal Tahir, Jangan Menangis. Lagu ciptaan mereka bersama itu mengambil inspirasi daripada pengalaman ketika menjayakan misi kemanusiaan di Jordan, tahun lalu.

"Sudah lama saya mengimpikan kerjasama ini. Kerjaya muzik kami bermula hampir sama tetapi tidak berpeluang bekerjasama. Kami memilih untuk menghasilkan lagu yang istimewa dan unik kerana di luar sana, sudah terlalu banyak lagu cinta yang dihasilkan.

"Mesej yang disampaikan cukup ringkas tetapi kuat, malah akan meruntun hati mereka yang menjiwai setiap bait lirik lagu ini," katanya yang mengambil masa empat bulan untuk menyiapkan single itu.

Menekankan konsep pop, kerjasama dengan Faizal memberi ruang kepadanya untuk menterjemahkan idea dalam lagu yang dianggap membawa mesej sejagat itu.

"Setiap kali mempunyai masalah dalam muzik, saya akan merujuk kepada Faizal. Single ini saya anggap sebagai hadiah sempena 10 tahun saya dalam industri. Saya pula jarang keluar dan ini masa terbaik untuk saya kembali dengan karya terbaharu.

"Saya bukan penyanyi eksklusif, malah tidak mahu dianggap begitu kerana bimbang orang meluat. Sedekad dalam industri mengajar saya menjadi penyanyi, pemuzik dan pencipta lagu. Mungkin selepas ini saya akan ceburi bidang lakonan pula jika ditawarkan watak bersesuaian," katanya yang pernah membuat kemunculan istimewa dalam filem Istanbul Aku Datang.

INFO:

  • - Penyanyi dan pemuzik berusia 28 tahun ini pernah menyertai Akademi Fantasi musim kelima seangkatan dengan Dafi dan Mila Jirin.
  • - Muncul dengan tiga album berjudul Percubaan Pertama (2008), Urusan Aizat Amdan (2010) dan Legasi (2014). Aizat turut menghasilkan single berjudul Perpisahan Ini, Jerrypah, In My Heart dan Hadiah.
  • - Pernah dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2009 dan 2015. Aizat turut meraih gelaran juara pada kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) menerusi lagu Pergi.
AIZAT kini muncul bersama single terbaharu, duetnya bersama Faizal Tahir, Jangan Menangis. - Foto Mahzir Mat Isa
AIZAT kini muncul bersama single terbaharu, duetnya bersama Faizal Tahir, Jangan Menangis. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X