PADANG: Beberapa bumbung yang bocor dan dinding bangunan yang rosak serta berlubang menimbulkan perasaan takut anak yatim di Panti Asuhan Muhammadiyah, Kampung Pauh, Kota Padang.
Bermain di fikiran wartawan, bagaimanakah keselamatan anak yatim yang berada di pusat asuhan itu dengan kehadiran binatang buas dan berbisa, yang bila-bila masa boleh menyelinap masuk ke dalam bilik tidur mereka.
Ditambah pula, kawasan rumah anak yatim itu yang berdekatan dengan sawah padi, yang juga didiami binatang berbisa berkenaan.
Tersentuh hati penulis apabila melangkah masuk ke bangunan tiga tingkat yang menempatkan 38 penghuni serta tujuh petugas itu, apabila mendapati hanya tilam lusuh menjadi teman mereka.
Tanpa kipas angin, malah almari yang digunakan juga rosak, hinggakan terpaksa dipaku dengan papan lapis bagi mengukuhkannya, pasti menyulitkan kehidupan harian mereka.
Ketika mengamati keadaan sekeliling, mata penulis terpandang seorang anak yatim yang dikenali sebagai Fikra, 14, seperti masih trauma akan peristiwa yang menimpanya.
Suasana gelap yang menakutkan
Menurut Fikra, setiap kali menjelang malam, persekitaran rumah asuhan itu agak gelap dan menimbulkan perasaan takut apabila hendak melelapkan mata.
"Saya masih ingat lima tahun lalu, kali pertama tiba ke sini, selama dua hari tidak boleh melelapkan mata selepas mendengar bunyi-bunyi yang menakutkan.
"Seperti bunyi tikus pun ada, bunyi haiwan yang saya tidak pasti sehingga terpaksa menahan mata untuk tidur. Saya bangun lihat di luar tingkap, baring semula dan mengulanginya sampai waktu subuh," katanya kepada BH Plus.
Fikra berkata, keadaan tilam yang agak nipis, dia tidur berlantaikan simen, selain tiada kipas menyebabkan nyamuk banyak dalam bilik.
"Janggal pada mulanya untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran pusat asuhan ini, namun selepas beberapa minggu saya sudah membiasakan diri dalam rumah ini termasuk bergaul dengan rakan yang lain," katanya.
Katanya, anak yatim piatu di situ diajar untuk bersyukur dengan nikmat kurniaan tuhan dan tidak pernah mempersoalkan keadaan bilik dan persekitaran, walaupun tidak mencukupi.
"Saya terpaksa berkongsi almari baju dan tidur bersama rakan lain atas satu katil, namun ia membuatkan diri saya lebih gembira serta ceria. Saya bersyukur kerana ada penjaga yang masih mahu mengambil berat terhadap diri saya, jika tidak saya bersendirian" katanya.
Rumah asuhan berkenaan mendapat perhatian pelajar Politeknik Mersing yang melakukan lawatan ke pusat asuhan itu bersama penulis, baru-baru ini.
Kehadiran penulis di pusat asuhan itu yang terletak berhampiran masjid, sempat menyaksikan kanak-kanak bersiap berkain pelekat sejurus azan Zohor berkumandang dan mereka saling membantu mempersiapkan diri untuk mendirikan solat.
Selepas selesai solat, terukir senyuman pada wajah anak-anak berkenaan sebaik melihat kehadiran rombongan dari Malaysia, seolah-olah menanti ketibaan tetamu untuk beramah mesra bersama mereka.
Apa yang mengagumkan penulis, penghuni di situ diajar bersolat, mengaji, membaca dan menulis dan mendalami ilmu agama dengan tunjuk ajak beberapa penjaga wanita.
Mereka juga diberi makan hasil dari sumbangan orang ramai, masyarakat setempat dan penderma sama ada dari dalam mahupun luar.
Mengeratkan silaturahim
Sementara itu, Pengarah Politeknik Mersing, Rosli Hamid, yang turut menyertai lawatan berkenaan, berkata sumbangan hasil program yang dianjurkan politeknik itu diserahkan kepada pusat asuhan terbabit.
"Walaupun tidak seberapa, sedikit sebanyak dapat membantu untuk menambah peralatan di bangunan berkenaan.
"Saya harap silaturahim yang terjalin dan bantuan dihulurkan bukan setakat ini sahaja, namun dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Selain bantuan, pelajar turut menjalankan sukaneka antaranya mengangkat botol menggunakan tali, mencari harta karun, menyanyi dan makan bersama penghuni pusat asuhan itu.
"Menariknya, pelajar-pelajar kami tanpa dipaksa memberi hadiah seperti jam, tabung dan wang tunai Malaysia sebagai kenangan sebelum meninggalkan perkarangan rumah asuhan berkenaan.
"Malah, ada yang berderaian air mata ingin berpisah dengan penghuni rumah berkenaan. Walaupun seketika bersama mereka sudah cukup menyentuh hati perasaan peserta lawatan kali ini," katanya.
Keesokan harinya, pelajar dibawa melawat Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau, Kota Padang Panjang yang menyimpan pelbagai sejarah masyarakat Minangkabau.
"Sepanjang lawatan ke rumah panjang Padang Panjang pelajar diterangkan sejarah dan asal-usul masyarakat Minang, Adat Temenggung dan Adat Perpatih, cara hidup orang Minang dan perkembangan masyarakat Minang dari dahulu hingga sekarang," katanya.
Beliau berkata, peserta juga diberitahu mengenai reka bentuk rumah yang dibina dengan tiang senget, diletakkan atas batu bagi persediaan sekiranya berlaku bencana alam.
"Bentuk muka bumi Padang yang berbukit bukau dan kerap kali dilanda gempa bumi membuatkan orang dahulu membina tiang secara senget bagi menstabilkan keadaan rumah. Jika berlaku gegaran, manakala tiang diletakkan pada batu supaya rumah tidak mudah menggelongsor," katanya.
INFO: Panti Asuhan Muhammadiyah mula dibuka Oktober 1990
Penulis yang mengikuti lawatan anjuran Politeknik Mersing ke Padang, Indonesia, baru-baru ini