Sabtu, 4 March 2017 | 12:02am

Duduk bersila menikmati kari kambing di tepi sawah

RESTORAN Seashells, Langkawi.
RESTORAN Seashells, Langkawi.

MEMANG mengasyikkan apabila menjamu selera dalam suasana angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, tetapi telinga tetap 'berdesing' apabila menikmati keropok dan ulam-ulaman segar dicicah bersama sambal belacan dan air asam.

Itu adalah kelazatan maksimum diperoleh selepas bertandang ke Restoran Seashells, Langkawi! Terasa berbaloi selepas puas melancong atau mengembara mengelilingi pulau Mahsuri ini.

Tiga faktor ini yang membuatkan sesiapa saja boleh leka ketika bersantai di restoran ini kerana anda seolah-olah berada dalam pondok di tepi sawah ketika menikmati hidangan nasi kukus bersama siakap tiga rasa dan kari kambing.

Faktor itu adalah tenang, damai dan menyelerakan.

ANTARA pengunjung Restoran Seashells, Langkawi. - Foto Zunnur Al-Shafiq
ANTARA pengunjung Restoran Seashells, Langkawi. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Kembalikan nostalgia

Konsep yang diketengahkan oleh restoran terletak di pesisir Pantai Chenang, antara destinasi pelancongan popular di Langkawi ialah makanan tradisional menampilkan nasi kukus, ulam-ulaman dan lauk-pauk hidangan kampung, sekali gus mengembalikan nostalgia pengunjung mengingati desa tercinta, tempat mereka dilahirkan terutama yang membesar di persekitaran sawah padi.

Pengurus restoran ini, Roslan Padzil, berkata nasi kukus menjadi pilihan ramai di premis makanannya apabila ia mengeluarkan aroma tersendiri selepas dicampur serai, daun limau purut, halia, bawang besar dan sedikit majerin untuk menyuntik kelainan berbanding nasi putih biasa.

Katanya, sambil menikmati hidangan makan tengah hari atau malam, pengunjung disajikan panorama indah sawah padi apabila deretan pondok yang dibina di atas batas, dijadikan tempat menjamu selera.

"Pemandangan bertambah indah terutama waktu malam apabila kawasan sawah padi diterangi lampu limpah dan perhiasan, sekali gus menjadikan kawasan persekitarannya begitu tenang dan damai. Sambil menjamu selera, pengunjung boleh dengar bunyi cengkerik dan katak yang bersahutan antara satu sama lain, persis suasana desa," katanya.

PELANGGAN sedang menjamu selera sambil menikmati Foto Zunnur Al-Shafiqpemandang di sawah. - Foto Zunnur Al-Shafiq
PELANGGAN sedang menjamu selera sambil menikmati Foto Zunnur Al-Shafiqpemandang di sawah. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Macam rumah sendiri

Bagi mereka yang ingin mengimbau zaman kanak-kanak, berkunjunglah ke restoran kami kerana persekitarannya menjanjikan pengalaman yang sukar anda lupakan.

Apabila menjamu selera dalam pondok, pengunjung makan bersila atau duduk bersimpuh, seolah-olah berada di rumah sendiri.

Lebih tepat, mengembalikan nostalgia berada di kampung halaman. Makan beramai-ramai bersama keluarga atau sekumpulan teman rapat, sekali gus menambah keharmonian yang pasti terjalin.

"Itulah konsep mahupun kelainan yang cuba ditampilkan oleh restoran kami, mudah-mudahan mampu memenuhi cita rasa pelanggan.

"Selepas menjamu selera, tetamu boleh melawat atau berkunjung ke Muzium Padi yang terletak bersebelahan restoran," katanya.

Secara keseluruhan, kari kambing dan daging salai cili padi serta ulam-ulaman yang dinikmati bersama air asam, ada kelas tersendiri!

ANTARA hidangan yang terdapat di Restoran Seashells. - Foto Zunnur Al-Shafiq
ANTARA hidangan yang terdapat di Restoran Seashells. - Foto Zunnur Al-Shafiq

INFO: Restoran Seashells

  • Lokasi: Laman Padi, Jalan Pantai Chenang, Pulau Langkawi, Kedah
  • Antara menu popular ialah kari kambing, daging salai cili padi dan siakap tiga rasa.
  • Restoran Seashells adalah di bawah pengurusan LADA Eco-Tourism Sdn Bhd.
Berita Harian X