Sabtu, 25 Februari 2017 | 12:01am

Puding Panna Cotta

PENCUCI mulut Itali diadun dengan susu, krim segar dan gelatin, sedap rasanya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
PENCUCI mulut Itali diadun dengan susu, krim segar dan gelatin, sedap rasanya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

PENGGEMAR pencuci mulut pastinya tahu mengenai Panna Cotta, puding Itali yang dikomersialkan dan menjadi popular di negara ini.

Namanya saja sudah boleh membuka selera, cukup menarik sekali dan ramai yang tertarik dengan persembahan ia dihidangkan di restoran mewah.

Cef Zuhaidi Ramle dari Hotel Geno berkata, pencuci mulut Panna Cotta ini mempunyai kelas yang tersendiri.

Katanya, gelatin digunakan bagi menjadikan cecair puding itu kepada pepejal yang lebih lembut.

Penyediaan tidak renyah

"Kebiasaannya pencuci mulut ini dipilih sebagai hidangan kerana ia mudah dihidangkan dan rasanya juga sedap.

"Penyediaannya tidak renyah seperti kebanyakan pencuci mulut yang lain seperti kek perlu dibakar dan sebagainya.

"Campuran susu, krim segar dan gelatin akan menjadikan ia hidangan paling sempurna buat tetapi khususnya pada majlis keraian," katanya.

Antara tips yang dikongsikan oleh Cef Zuhaidi adalah hiasi pencuci mulut ini mengikut kreativiti anda dengan menggunakan pelbagai jenis buah beraneka warna.

Ini akan membuatkan sesiapa saja rasa kecur air liur dengan persembahan pencuci mulut yang dihidang dalam cawan moktel.

Bahan-bahan:

* Krim segar 370 milileter (ml)

* Susu segar 125ml

* Gula 60gram (g)

* Esen vanila 1 sudu

Cara-cara:

1. Didihkan krim, susu, gula dan esen vanila.

2. Didihkan gelatin pada periuk berasing dan pastikan kacau supaya ia larut dengan sempurna.

3. Campurkan cecair gelatin ke dalam campuran pertama tadi dan kacau seketika.

4. Tapiskan campuran berkenaan supaya tekstur akan lebih sempurna dan tiada ketulan.

5. Tuangkan ke dalam bekas cawan moktail dan sejukan di dalam peti ais selama satu jam.

HIAS dengan buah-buahan yang dipotong dadu seperti strawberi atau pic mengikut kreativiti.
HIAS dengan buah-buahan yang dipotong dadu seperti strawberi atau pic mengikut kreativiti.

Berita Harian X