Sabtu, 11 Februari 2017 | 12:06am

Bunga Rafflesia mekar di Tanjong Datu, gamit pelancong

LUNDU: Keunikan alam semula jadi antara daya tarikan utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Selain memiliki Gunung Gading dan Gunung Pueh yang menggamit penggemar aktiviti mendaki, Tanjong Datu juga memiliki pantai yang indah dan mempesonakan.

Malah, di kawasan ini juga memiliki pulau yang menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur iaitu Pulau Talang-Talang.

Bagi penggemar aktiviti menyelam dan snorkeling, banyak lokasi menarik di kawasan itu terutama di Telok Serabang, perairan Taman Negara Tanjong Datu dan sekitar Pulau Talang-Talang.

Keindahan alam semula jadi di kawasan ini dikawal rapi kerana kerajaan negeri mahu memastikan ia diwariskan untuk generasi akan datang.

Ini dapat dilihat dengan kewujudan Taman Negara Tanjong Datu yang terletak di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia dan Taman Negara Gunung Gading yang terletak hanya di belakang pekan Lundu.

BUNGA Rafflesia yang kembang di Taman Negara Gunung Gading di Lundu. - Foto BERNAMA
BUNGA Rafflesia yang kembang di Taman Negara Gunung Gading di Lundu. - Foto BERNAMA

Selain itu, kawasan hutan berdekatan dengan pekan Sematan iaitu Hutan Simpan Samunsam juga dijaga dengan rapi bukan sahaja untuk memastikan khazanah rimba di situ terpulihara tetapi juga untuk memastikan kawasan itu terus menjadi habitat tuntung iaitu sejenis penyu sungai untuk bertelur.

Kesungguhan pihak berkuasa hutan menjaga alam semula jadi di kawasan Tanjong Datu menyebabkan Rafflesia, spesies bunga pakma terbesar masih dapat dilihat dan sentiasa mekar.

Ini kerana bunga unik yang hanya mekar dalam tempoh kira-kira seminggu itu tidak akan tumbuh di kawasan hutan sekunder.

Seorang pemandu pelancong yang mendapat manfaat dari keindahan alam semula jadi Tanjong Datu, Antonia Chia berkata, Rafflesia tumbuh dan mengeluarkan bunga di kawasan hutan dara.

"Sebab itu bunga unik ini ditemui di kawasan Tanjong Datu. Hutan di kawasan ini masih dijaga rapi dan inilah sumbangan terbesar dalam memastikan khazanah rimba yang tidak ternilai ini kekal untuk generasi akan datang," katanya.

Antonia berkata, terdapat dua jenis bunga Rafflesia di kawasan Tanjong Datu iaitu spesies 'Tuan Mudae' yang ditemui di Taman Negara Gunung Gading dan 'Hasseltii' yang tumbuh di dalam kawasan Taman Negara Tanjong Datu.

SEORANG pengunjung mengambil gambar bunga Rafflesia spesis 'Tuan Mudae' di Taman Negara Gunung Gading. - Foto BERNAMA
SEORANG pengunjung mengambil gambar bunga Rafflesia spesis 'Tuan Mudae' di Taman Negara Gunung Gading. - Foto BERNAMA

"Orang ramai yang ingin melihat bunga unik ini tidak perlu pergi jauh kerana ia terdapat di Gunung Gading yang terletak dekat dengan pekan Lundu. Mereka hanya perlu berjalan kira-kira 400 meter atau 25 minit dari pejabat taman negara sebelum sampai ke lokasi bunga pakma itu," katanya.

Peluang untuk melihat Rafflesia kembang sebenarnya jarang diperoleh kerana bunga itu kembang hanya dalam tempoh enam hari dan dalam tempoh itu, warna serta keadaan kelopaknya sentiasa berubah.

Antonia berkata, bunga itu kembang sehingga 60 sentimeter dan mempunyai lima kelopak yang cantik dan warnanya lebih terang.

"Tahun ini, bunga Rafflesia Tuan Mudae kembang sebanyak enam kali iaitu empat kali pada Januari dan dua kali setakat bulan ini. Secara purata, sebanyak 24 bunga akan kembang setiap tahun," katanya.

Taman Negara Gunung Gading meliputi kawasan seluas 4,196 hektar dan diwartakan pada 1983. 

Tahun lalu, taman negara itu menerima seramai 18,654 pengunjung manakala dalam tempoh Januari hingga 5 Februari ini, seramai 1,018 sudah direkodkan.

PEMANDU pelancong Taman Negara Gunung Gading, Bihai Nyah melihat keadaan bunga Rafflesia yang kembang pada hari kedua. Peluang melihat bunga Rafflesia sentiasa memberi pengalaman berbeza kerana dalam tempoh enam hari proses bunga itu kembang warna serta keadaan kelopak sentiasa berubah. - Foto Luqman Hakim Zubir

INFO:

  • 60 sentimeter diameter kelopak berkembang Bunga Rafflesia.
  • Memiliki lima kelopak besar.

    24 Bunga Rafflesia hidup di Taman Negara Gunung Gading.

PEMANDU pelancong Taman Negara Gunung Gading, Bihai Nyah melihat keadaan bunga Rafflesia yang kembang. - Foto Luqman Hakim Zubir
PEMANDU pelancong Taman Negara Gunung Gading, Bihai Nyah melihat keadaan bunga Rafflesia yang kembang. - Foto Luqman Hakim Zubir
LALUAN untuk melihat bunga Rafflesia di Taman Negara Gunung Gading. - Foto Luqman Hakim Zubir
LALUAN untuk melihat bunga Rafflesia di Taman Negara Gunung Gading. - Foto Luqman Hakim Zubir
'MAHKOTA' bunga Rafflesia yang kembang di Taman Negara Gunung Gading di Lundu. - Foto BERNAMA
'MAHKOTA' bunga Rafflesia yang kembang di Taman Negara Gunung Gading di Lundu. - Foto BERNAMA
Berita Harian X