Sabtu, 4 Februari 2017 | 12:00am

Reen Rahim kecewa teman rapat dalang sebar cerita

KUALA LUMPUR: Sudah lumrah, selebriti dan cerita panas berpisah tiada. Sesekali terpalit cerita yang kurang enak tidak membuatkan pelakon cantik manis, Reen Rahim, 28, melenting dan meratap hiba.

Malah, gosip yang mendakwa dirinya 'kepala angin' dan berperangai diva seperti didedahkan dalam B*POP, beberapa minggu lalu, menyedarkannya 'andai takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.

Inilah kali pertama juara program realiti, Pilih Kasih musim ketiga itu dihambat kontroversi. Selama hampir lima tahun bergelar anak seni, Reen tidak pernah diaibkan dan bersih daripada cerita negatif.

Bagaimanapun, dakwaan yang mengatakan dirinya 'kepala angin' dan pernah mengasari seseorang, disusuli gosip berperangai diva ketika menjalani penggambaran sebuah drama bersiri, memberi tamparan buatnya.

Dengan nada perlahan, gadis kelahiran Klang, Selangor itu mengakui: "Saya agak terkejut. Saya tidak tahu ada pihak yang tidak menyenangi saya. Di hadapan saya ketika di lokasi penggambaran, keadaan semuanya okay, tetapi di belakang saya, rupa-rupanya ada yang memerhati dan membenci.

PELAKON, Noreen Ashikin Abdul Rahim atau dikenali Reen Rahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Noreen Ashikin Abdul Rahim atau dikenali Reen Rahim. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sehingga hari ini, saya masih memikirkan apa yang saya lakukan hingga dituduh berperangai diva. Saya bukanlah seorang yang berperangai diva, saya sedar diri saya siapa. Biasalah, apabila tidak suka, macam-macam cerita buruk timbul".

Reen berkata, dia bukan seorang yang bermasalah dan suka menukar jadual kerja seperti didakwa.

"Saya bukannya baru sehari berlakon, sudah hampir lima tahun bergelumang dalam industri seni. Jika saya seorang yang suka menimbulkan masalah dan menukar jadual kerja, sudah tentu masalah ini sudah lama diperkatakan. Sebenarnya, saya sudah banyak bertolak ansur mengenai jadual kerja.

"Saya selalunya berhubung dengan pengurus produksi, malah kontrakpun pengurus produksi yang tanda tangan. Jadi, sebarang perubahan jadual saya hanya memberitahu dia.

"Tetapi, ada pihak lain yang saya rasa tidak perlulah saya sebut, suka campur tangan. Apabila masalah komunikasi berlaku, saya pula dipersalahkan," katanya.

REEN Rahim dikatakan 'kepala angin' dan berperangai diva. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
REEN Rahim dikatakan 'kepala angin' dan berperangai diva. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bukan hipokrit

Bekas graduan Diploma Hair Stylist dari Thomas & Guys Academy itu berkata, dia tahu siapa yang buat cerita, tetapi tidak mahu menyalahkannya.

"Walaupun keadaan nampak seperti saya yang bersalah tetapi biarlah... Sejujurnya, saya seronok bekerja dengan pasukan produksi ini, kami bekerja seperti satu keluarga. Bagaimanapun, apa yang berlaku membuatkan saya lebih berhati-hati selepas ini.

"Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa, saya cari makan dalam bidang ini, jadi kepahitan biarlah saya telan seorang diri. Apapun terjadi di lokasi penggambaran selepas ini, saya hanya senyum dan ambil langkah sendiri tanpa mahu mengecilkan hati sesiapa," katanya yang turut membintangi filem terbaharu, Soulmate Hingga Jannah tidak lama lagi.

Reen berkata, dia kecewa dengan dakwaan yang mengatakan dirinya kepala angin dan pernah mengasari seseorang.

"Saya tahu siapa yang menyebarkan cerita ini. Dia adalah antara insan yang pernah rapat dengan saya suatu ketika dulu. Awalnya, saya amat menyenanginya, saya anggap dia seperti kakak kandung saya. Bagaimanapun, apabila kantoi beberapa perkara, saya perlahan-lahan menjauhkan diri daripadanya.

"Sejak itu, macam-macam cerita buruk mengenai saya bertebaran. Apabila saya mengambil pembantu peribadi, dia semakin marah.

"Saya akui saya seorang yang lurus, saya boleh berlakon depan kamera, tetapi saya tidak mampu bersikap hipokrit apabila mengetahui seseorang yang saya percaya menyebarkan cerita bukan-bukan mengenai saya. Dia tidak tahu saya pernah mengujinya dan dia kantoi. Di situ saya melihat kejujuran seseorang," katanya.

REEN bekas graduan Diploma Hair Stylist dari Thomas & Guys Academy. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
REEN bekas graduan Diploma Hair Stylist dari Thomas & Guys Academy. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mahu lebih berhati-hati

Tambah Reen, dia amat tertekan, lebih-lebih lagi apabila kuncu-kuncu individu terbabit menyerangnya dengan fitnah bukan-bukan.

"Selama hari ini, saya tidak buka mulut dan hanya membiarkannya saja. Bagaimanapun, sebagai manusia, saya ada hak untuk mempertahankan diri. Sudah masanya, saya beritahu kedudukan yang sebenar.

"Sebenarnya, saya gembira apabila ada yang menyokong kerjaya saya. Bagaimanapun, satu peristiwa yang membuatkan saya tawar hati apabila ada yang memburukkan saya pada ibu. Depan saya cakap lain, belakang saya lain pula berlaku. Bagaimana saya mahu mempercayainya lagi?," katanya.

Gadis kacukan Pakistan, Arab, Melayu dan Bugis itu berkata, dia enggan melayan cerita merepek dan mahu membiarkan mereka membuat fitnah atau cerita buruk, dia tahu dirinya tidak bersalah.

"Setiap tindakan saya bersebab dan saya cukup berhati-hati mahu berkawan dengan sesiapapun. Saya jenis yang tidak pandai bermuka-muka atau hipokrit.

"Apa yang saya belajar dengan manusia yang suka menabur fitnah, saya akan terus bersikap baik walaupun saya tidak selesa," katanya.

REEN tidak tahu ada pihak yang tidak menyenanginya. - Foto Rohanis Shukri
REEN tidak tahu ada pihak yang tidak menyenanginya. - Foto Rohanis Shukri

Berita Harian X