Rabu, 18 Januari 2017 | 12:01am
MOHD Saufi Yusof.
MOHD Saufi Yusof.

Tekong muda gred A

ARUAN seberat 27kg yang dinaikkan pemancing pada trip memancing, 27 Disember lalu. Mohd Saufi bersama tenggiri mega seberat 14.7 kg.
ARUAN seberat 27kg yang dinaikkan pemancing pada trip memancing, 27 Disember lalu. Mohd Saufi bersama tenggiri mega seberat 14.7 kg.

JEMUDUK, tenggiri, aruan tasik, kerapu dan jenahak bersaiz mega banyak menghuni perairan Batu Laut, Morib dan Tanjung Sepat, Selangor menjadikan lubuk di kawasan itu sering menjadi tumpuan kaki pancing.

Untuk tekong yang cekap dan mahir diperlukan untuk membawa kaki pancing ke perairan berkenaan.

Mohd Saufi Yusof, 24 adalah antara tekong yang kerap membawa kaki pancing untuk memburu ikan bersaiz mega.

Walaupun mengakui baru setahun jagung menjadi tekong, Mohd Saufi sudah arif dengan selok belok lubuk yang dihuni spesies ikan bersaiz besar yang menjadi idaman setiap pemancing.

Kaki pancing sering dapat hasil

Tahun lalu tekong muda itu mencipta rekod peribadi dengan tangkapan ikan gred A terberat iaitu tenggiri seberat 14.7 kilogram (kg) dan jenahak 7.7kg.

Beberapa pemancing tegar yang menggunakan perkhidmatan botnya berjaya menaikkan ikan bersaiz mega yang mereka tidak pernah fikirkan sebelum ini.

Pada 27 Disember lalu, seorang pemancing yang mengguna bot Mohd Saufi terkejut besar apabila berjaya menjinakkan aruan tasik seberat 27 kg, dan sebelum itu seorang pemancing berjaya menaikkan jemuduk atau Giant Trevally (GT) seberat 24 kg.

MOHD Saufi bersama tenggiri mega seberat 14.7 kg.
MOHD Saufi bersama tenggiri mega seberat 14.7 kg.

Pada tahun 2015, Mohd Saufi berjaya melunaskan cita-cita seorang pemancing untuk menaikkan GT seberat 22 kg di perairan Tanjung Sepat.

"Saya dibesarkan di Balakong dan selepas berusia 21 tahun, berpindah ke Kampung Batu Laut.

"Tugas saya pada awalnya menolong ayah seorang nelayan pantai dan membuat ikan masin secara kecil-kecilan," katanya.

Pemancing tetap senyum

Tekong Mohd Saufi berkata, beliau mula diajar memancing menggunakan teknik dasar di kawasan tepi perairan itu sejak berusia 12 tahun oleh arwah datuknya.

Pada awal 2013, beliau mula berjinak-jinak menggunakan kaedah moden dengan berjigging dan lebih meminati jigging pelahan bagi memburu ikan bersisik.

Bagaimanapun, Mohd Saufi mengakui tidak semua kaki pancing yang dibawanya melalui pengalaman manis.

"Ada juga pemancing yang saya bawa tak dapat sebarang ikan dan akhirnya mengambil keputusan pulang tetapi mereka masih boleh senyum beramai-ramai.

"Setakat ini belum pernah dimarahi pemancing biarpun mereka gagal memperoleh sebarang ikan yang disasarkan," katanya.

INFO

  • Nama: Mohd Saufi Yusof
  • Usia: 24 tahun
  • Tarikh lahir: 13 Julai 1992
  • Asal: Balakong

Fakta nombor:

* 14.7 kg

Tenggiri paling berat pernah diperolehi Mohd Saufi

* 27kg

Berat aruan tasik dinaikkan pemancing yang dibawa Mohd Saufi

Berita Harian X