Jumaat, 6 Januari 2017 | 12:03am

Tak kisah kurang popular asal lakonan berkesan - Nadia Aqilah

TIADA ralat atau kekecewaan yang bersarang di hati wanita ini, meskipun namanya tidak berada pada koordinat populariti. Nadia Aqilah masih berbangga dengan pencapaiannya kerana mampu bertahan dalam industri sejak lebih sedekad lalu. Sepanjang tempoh itu, Nadia sudah mencuba pelbagai cabang seni termasuk menyanyi, mengacara dan berlakon.

Ketika bakat baharu hadir mengukuhkan posisi mereka, Nadia tidak tercabar. Kredibilitinya yang diakui penerbit dan pengarah menjadikannya sebagai pilihan apabila berterusan menerima tawaran berlakon. Meskipun tidak semua menawarkan watak utama, namun sekurang-kurangnya ruang untuk Nadia masih ada.

"Saya tidak ralat atau risau apabila ada yang tidak mengenali, malah menganggap saya sebagai pelakon baharu. Semua itu tidak menjadi persoalan kerana yang penting, peluang untuk berlakon sentiasa ada. Saya bersyukur masih kekal di sini dan sentiasa diberi kepercayaan oleh penerbit, pengarah dan peminat.

"Semua itu menjadi pembakar semangat saya untuk meneruskan langkah," katanya yang matang memberikan aksi setiap kali lensa kamera dihalakan.

Pemilik nama sebenar Nadia Aqilah Bajuri ini hanya berpegang kepada satu prinsip. Setiap kali diserahkan naskhah baharu, Nadia mengkaji perincian watak yang ditawarkan bagi memastikan kehadirannya meninggalkan kesan di hati penonton.

NADIA gemar berlakon dalam pelbagai produksi, malah cuba mengelak daripada terikat hanya dengan pengarah tertentu. - Foto Mahzir Mat Isa
NADIA gemar berlakon dalam pelbagai produksi, malah cuba mengelak daripada terikat hanya dengan pengarah tertentu. - Foto Mahzir Mat Isa

Bukan memilih, tetapi wanita berusia 31 tahun ini ini mengutamakan penghayatan watak untuk memastikan lakonannya memberikan impak, bukan sekadar tempelan.

"Tidak bermakna saya hanya mencari watak utama. Ada ketika, walaupun diberikan watak sampingan tetapi kemunculan kita turut membantu menguatkan lagi perjalanan cerita. Itu yang saya utamakan. Meskipun kurang popular, saya mahu pastikan setiap lakonan saya memberikan kesan dan hidup," katanya.

Tak kisah tampil buruk

Menerima pujian dan meraih perhatian penonton ketika membintangi drama rantaian, Kerana Terpaksa Aku Relakan, Nadia tidak pernah membataskan diri hanya menjayakan karakter tertentu.

Sebagai pelakon, Nadia terbuka menjayakan apa saja watak yang ditawarkan, malah tidak menolak jika terpaksa tampil buruk dan disolek pelik.

"Sebagai pelakon, kita mempunyai tanggungjawab. Apabila ditawarkan watak, kita perlu mengkaji dan melihat kesesuaian karakter supaya faham dan tahu arah yang perlu dibawa. Setiap pelakon mempunyai peranan masing-masing dan kejayaan sesebuah produksi bergerak dalam satu pasukan," katanya.

NADIA masih berbangga dengan pencapaiannya kerana mampu bertahan dalam industri sejak lebih sedekad lalu. - Foto Mahzir Mat Isa
NADIA masih berbangga dengan pencapaiannya kerana mampu bertahan dalam industri sejak lebih sedekad lalu. - Foto Mahzir Mat Isa

Nadia juga gemar berlakon dalam pelbagai produksi, malah cuba mengelak daripada terikat hanya dengan pengarah tertentu. Bagi Nadia, peluang bekerja dengan pelbagai produksi memberikan pengalaman berbeza.

Terbaru, Nadia bakal muncul dalam filem seram berjudul Dorm Melati terbitan Metrowealth. Pertama kali bekerjasama, Nadia akui banyak pengalaman baharu ditimba sebanyak penggambaran filem berkenaan.

Bakat yang turut mencipta nama di pentas teater itu juga tidak khuatir mencuba genre baharu lakonan meskipun pernah beraksi dalam naskhah berat seperti Zaiton Ceritaku.

"Bagi saya, setiap filem dan karakter mempunyai kelebihan serta memberikan warna dalam lakonan. Sebagai pelakon, saya sahut cabaran dengan memberikan persembahan sebaik mungkin," katanya.

NADIA (kanan) ketika menjayakan P Ramlee The Musical di Panggung Seri Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh, Melaka, pada September 2015. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
NADIA (kanan) ketika menjayakan P Ramlee The Musical di Panggung Seri Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh, Melaka, pada September 2015. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Masih menyanyi

Mengenai kerjaya nyanyian, Nadia berkata, minatnya terhadap cabang seni itu masih diteruskan dengan menerima undangan menjayakan persembahan korporat. Pernah melahirkan album yang mengangkat namanya sebagai judul, Nadia masih menyimpan impian untuk terus aktif selagi ada rezeki.

"Saya memang sukakan bidang seni. Berlakon, menyanyi dan menari sudah sebati dalam diri. Disebabkan itu, saya sering terbabit dalam pementasan teater. Cuma, semua itu bergantung kepada ruang dan peluang," katanya yang meminati genre pop serta R&B.

INFO:

  • Pernah menyertai rancangan realiti Gang Starz bersama kumpulan Luscious.
  • Berlakon dalam drama seperti Tari Tirana dan Emil Emilda.
  • Sering diserahkan watak antagonis.
  • Pernah berlakon dalam teater Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical.
NADIA sudah mencuba pelbagai cabang seni termasuk menyanyi, mengacara dan berlakon. - Foto Mahzir Mat Isa
NADIA sudah mencuba pelbagai cabang seni termasuk menyanyi, mengacara dan berlakon. - Foto Mahzir Mat Isa
NADIA sebagai Saloma bergandingan dengan Tony Eusoff (kiri) sebagai P Ramlee dalam P Ramlee The Musical di Panggung Seri Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
NADIA sebagai Saloma bergandingan dengan Tony Eusoff (kiri) sebagai P Ramlee dalam P Ramlee The Musical di Panggung Seri Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh, Melaka. - Foto fail NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber
Berita Harian X