Sabtu, 24 Disember 2016 | 12:15am

Sampah sarap jadi hamparan hidup penduduk Pulau Gaya

KOTA KINABALU: Seperti berjalan di atas permaidani tebal dan lembut, namun sebenarnya sisa tinggalan sampah sarap yang sebati dengan tanah sejak puluhan tahun lalu.

Itulah suasana yang perlu dilalui serta menjadi santapan pemandangan ketika BH meninjau sekitar Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, baru-baru ini.

Mereka yang pertama kali sampai di perkampungan atas air di Pulau Gaya itu, pasti terkejut melihat timbunan sampah sarap, sama ada di sekitar atau bawah rumah penduduk.

Ada yang mendakwa masalah sampah di situ berlarutan sejak lebih 30 tahun lalu, sebelum ia mulai ditangani sedikit demi sedikit sejak 10 tahun kebelakangan ini.

BEKAS sampah sarap yang lebih 20 tahun lalu masih boleh dilihat di Kampung Lok Urai. - Foto Edmund Samunting
BEKAS sampah sarap yang lebih 20 tahun lalu masih boleh dilihat di Kampung Lok Urai. - Foto Edmund Samunting

Bagaimanapun, penduduk kampung itu dan sekitarnya termasuk Kampung Gaya, mendakwa sampah terbabit turut datang dari tanah besar yang dihanyutkan ombak.

Ketua Kampung Lok Urai, Jari Alkis, mengakui penduduk kampung itu masih perlu bekerja keras membersihkan persekitarannya.

"Oleh itu, kami berharap kerajaan dapat memberi sumbangan pukat atau jaring untuk menghalang sampah daripada masuk ke pesisiran Pantai Lok Urai," katanya.

Ketua Kampung Gaya, Saimah Salam, berkata sampah di pulau itu bukan semuanya dibuang penduduk kampung, sebaliknya turut datang dari tanah besar.

PENDUDUK Kampung Lok Urai mengutip sampah di sekitar kampung sebelum dibawa ke tempat pembuangan sampah khas. - Foto Edmund Samunting
PENDUDUK Kampung Lok Urai mengutip sampah di sekitar kampung sebelum dibawa ke tempat pembuangan sampah khas. - Foto Edmund Samunting

"Kami pernah dimaklumkan sebelum ini, kajian pernah dijalankan sebuah universiti yang mendapati sampah yang mendarat di pulau ini, sebahagiannya adalah dari tanah besar.

"Memang benar masih ada penduduk yang kurang menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing, namun keadaan bertambah teruk dengan kewujudan sampah dari tanah besar yang hanyut dibawa arus laut," katanya.

Selain dua kampung berkenaan, beberapa kampung di Pulau Gaya termasuk Lobong dan Pulau Gaya Asal masih berdepan masalah sampah, walaupun usaha pembersihan terus dilakukan penduduk kampung berkenaan.

Mengulas lanjut, Saimah berkata, keadaan itu menyebabkan mereka kecewa kerana seolah-olah timbunan sampah di pulau itu hanya disebabkan penduduk pulau berkenaan.

"Kami berharap kerajaan dapat membina penghadang atau memberi jaring agar sampah yang hanyut dari tanah besar tidak sampai ke perkampungan di pulau ini," katanya.

TIMBUNAN sampah sarap daripada sekecil puntung rokok hingga ribuan bekas plastik dan botol air mineral, tayar dan serpihan kayu turut menjadi `santapan' mata dalam kunjungan di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya. - Foto Edmund Samunting

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pulau Gaya, Lamit Gara, yang turut mendakwa sebahagian sampah di situ datang dari tanah besar, meminta penduduk menyahut inisiatif Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, untuk membebaskan pulau terbabit daripada masalah sampah.

"Sebagai JKKK, saya minta penduduk Pulau Gaya sentiasa berusaha membersihkan kawasan kampung masing-masing, agar pulau ini bebas masalah sampah. Walaupun sampah di kampung ini bukan sepenuhnya dari sini (pulau), usaha membersihkannya tidak boleh diabaikan.

"Sebahagian daripada sampah ini datang dari tanah besar terutama apabila hujan yang mungkin hanyut ke laut dari Sungai Inanam dan Sembulan," katanya.

INFO - Kampung Lok Urai

# Lebih 30 tahun - masalah sampah

# 16.4 hektar keluasan Kampung Lok Urai

# 3,784 penduduk

# 762 bilangan rumah

PENDUDUK Kampung Lok Urai membersihkan kawasan masing-masing. - Foto Edmund Samunting
PENDUDUK Kampung Lok Urai membersihkan kawasan masing-masing. - Foto Edmund Samunting
PERKAMPUNGAN atas air di Pulau Gaya. - Foto Izhari Ariffin
PERKAMPUNGAN atas air di Pulau Gaya. - Foto Izhari Ariffin
KETUA Kampung Lok Urai, Jari Alkis. - Foto Edmund Samunting
KETUA Kampung Lok Urai, Jari Alkis. - Foto Edmund Samunting
PENDUDUK Kampung Lok Urai, Pulau Gaya membakar sampah sarap yang dikutip di sekitar kampung. - Foto Edmund Samunting
PENDUDUK Kampung Lok Urai, Pulau Gaya membakar sampah sarap yang dikutip di sekitar kampung. - Foto Edmund Samunting
KANAK-kanak bermain di kawasan bekas sampah sarap yang berusia lebih 20 tahun lalu di Kampung Lok Urai. - Foto Edmund Samunting
KANAK-kanak bermain di kawasan bekas sampah sarap yang berusia lebih 20 tahun lalu di Kampung Lok Urai. - Foto Edmund Samunting
Berita Harian X