Khamis, 15 Disember 2016 | 12:00am

"Amma" bantu rakyat melarat

BEKAS Ratu Filem Tamil disayangi kerana aktif bela nasib penduduk miskin.
BEKAS Ratu Filem Tamil disayangi kerana aktif bela nasib penduduk miskin.
"AMMA sudah tiada" demikian mesej Parti All India Anna Dravida MUNNETRA Kazhagam (AIADMK) menerusi laman Twitter. Amma atau ibu adalah gelaran Ketua Menteri Tamil Nadu, Jayalalithaa Jayaram, sebuah negeri di selatan India.

Ketua Menteri wanita kedua itu menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani rawatan sejak 22 September lalu di Hospital Apollo, Chennai selepas mengalami demam dan dehidrasi.

Ketika dirawat Jayalalithaa mengalami serangan jantung di hospital terbabit. Keadaan kesihatannya juga semakin merosot dan kritikal, mencemaskan ribuan penyokong kuatnya sejak berita beliau dimasukkan ke hospital tersebar.

Pemergian wanita besi itu menyebabkan seluruh Tamil Nadu berkabung selama tujuh hari manakala sekolah dan premis perniagaan ditutup tiga hari.

Ribuan rakyat terutama golongan miskin dari seluruh pelusuk Tamil Nadu datang memberi penghormatan terakhir kepada Amma mereka.

PENYOKONG setia melakar wajah Jayalalithaa di tangan sempena sambutan ulang tahun beliau ke-68, baru-baru ini.
PENYOKONG setia melakar wajah Jayalalithaa di tangan sempena sambutan ulang tahun beliau ke-68, baru-baru ini.

Kenapa Amma dipuja umpama 'Tuhan' oleh penyokongnya? Rakyat Tamil Nadu yang hidup melarat sangat terhutang budi terhadap beliau. Ini kerana ketua menteri lima penggal itu banyak memperkenalkan skim subsidi bagi membantu rakyat miskin. Beliau sangat berpengaruh hinggakan rakyat sanggup sujud sebagai tanda hormat.

Jayalalitha atau Puratchi Thalaivi lahir di sebuah bandar kecil Melukote, daerah Mysuru pada 24 Februari 1948 dalam sebuah keluarga ortodok Brahmin. Bapanya, Jayaram seorang peguam, meninggal dunia ketika dirinya berusia dua tahun, manakala ibunya, Vedavathi, seorang pelakon tambahan yang berusaha keras menyara dirinya dan abangnya, Jayakumar.

Amma lahir dalam keluarga sederhana, mendapat pendidikan awal di Bishop Cotton Girl Schools, Bangalore dan Church Park Convent, Chennai.

Memulakan kerjaya sebagai pelakon cilik pada 1961, ketika berusia 13 tahun dalam filem Kannada, Sri Shaila Mahathme. Mula memegang watak utama pada 1964 ketika berusia 16 tahun. Sepanjang kerjaya perfilemannya, beliau membintangi 140 filem, kebanyakannya digandingkan bersama hero Tamil terkenal, M.G Ramachandran atau MGR.

JAYALALITHAA di samping hero terkenal Tamil Nadu, Marudhur Gopalan Ramachandran atau MGR dalam sebuah filem lakonan mereka.
JAYALALITHAA di samping hero terkenal Tamil Nadu, Marudhur Gopalan Ramachandran atau MGR dalam sebuah filem lakonan mereka.

Mereka digandingkan dalam lebih 30 filem. Beliau terkenal sebagai pelakon wanita prolifik dan sangat 'versatil' pada zamannya hinggakan tiada pelakon wanita dapat menandingi kemasyhuran dan kehebatan lakonannya.

Seorang yang sangat berbakat hingga terpilih untuk membintangi filem Inggeris, Hindi, Kannada, Malayalam, Tamil dan Telugu, juga fasih dalam kelima-lima bahasa itu.

Selepas meninggalkan dunia perfileman, Jayalalitha mula menceburi bidang politik selepas diperkenalkan MGR, dikatakan individu amat berpengaruh dalam hidupnya.

Malah menerusi temuramah bersama Simi Geriwal pada 2012, Jayalalitha mengaku MGR adalah individu kedua penting dalam hidupnya selepas ibunya sendiri. Jika bidang filem diceburi atas pengaruh ibunya, MGR pula memperkenalkan dunia politik.

Beliau mewarnai sendiri kerjaya politiknya hingga meraih gelaran wanita besi, malah berjaya menyingkirkan parti pemerintah dengan kemenangan besar.

Beliau dilantik sebagai ketua menteri pertama kali pada 1991 selepas kemenangan besar AIADMK - parti perikatan kongres berjaya memenangi 225 kerusi daripada 234. Penggal pertama sebagai ketua menteri, beliau berdepan beberapa kontroversi yang menyaksikan beliau dituduh menandatangani perjanjian tanah penuh kontroversi, salah urus dana pajakan granit kuari, mengumpul aset tidak seimbang dengan sumber pendapatan.

JAYALALITHAA menghidang makanan untuk orang ramai di kantin Amma yang menjual makanan serendah satu rupee.
JAYALALITHAA menghidang makanan untuk orang ramai di kantin Amma yang menjual makanan serendah satu rupee.

Susulan kontroversi itu, pada 1996 partinya kalah teruk ketika tuduhan rasuah ke atas dirinya sedang hangat diperkatakan, AIADMK hanya menang empat kerusi. Jayalalithaa ditahan pada Disember tahun yang sama. Beliau menjalani hukuman penjara hampir sebulan.

Walaupun kerjaya politik beliau diselubungi kontroversi, Jayalalithaa menikmati sokongan daripada penyokongnya yang sentiasa berdiri teguh di belakang disebabkan populariti dan skim subsidi untuk golongan miskin.

Pemergian Jayalalithaa, bekas Ratu Panggung Tamil bertukar ahli politik ketika kerjaya politiknya berada di kemuncak. Upacara pengebumiannya penuh penghormatan daripada kerajaan negeri dan jasadnya disemadikan bersebelahan mentornya, MGR di Memorial MGR Pantai Marina, Chennai.

Bagi rakyat Tamil Nadu, beliau adalah pemimpin yang berjuang hingga ke akhir hayatnya sepanjang 32 memerintah.

Tempatnya kini sekali lagi diambil alih O Paneerselvam yang mengangkat sumpah pada 5 September lalu sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu dan beliau adalah orang yang bakal bertanggungjawab mengurus warisan yang ditinggalkan Jayalalithaa.

Fakta menarik Jayalalithaa yang tidak diketahui umum:

1. Ketika penggal pertama sebagai Ketua Menteri, beliau enggan menerima gaji dengan alasan mempunyai sumber pendapatan lain yang banyak. Beliau hanya menerima satu rupee.

2. Pernah mencipta rekod dalam Guinness Book of World Records kerana menganjurkan perkahwinan mewah untuk anak angkat lelakinya, Sudhakaran pada 1995. Rekod itu mencatat lebih 1.5 juta tetamu. Jabatan I-T menganggarkan kos perkahwinan itu menelan belanja 10 crore (RM6.7 juta).

3. Jayalalithaa adalah Ketua Menteri Tamil Nadu tanpa portfolio, pembantu rapatnya, O Pannerselvam adalah orang yang bertanggungjawab terhadap semua portfolio.

4. Amma pernah jatuh cinta dengan lelaki yang sudah berkahwin iaitu, aktor Shoban Babu ketika zaman kegemilangannya, dan pernah mengintai pelakon terbabit dengan menggunakan binokular. Namun hingga akhir hayatnya beliau tidak pernah berkahwin.

5. Bukan hanya seorang pemimpin namun penulis novel Tamil yang bagus. Pernah menerbitkan sebuah novel selain menjadi penulis majalah mingguan 'yesteryear' Tamil, menggunakan nama pena 'Thai'.

6. Seorang pembaca buku Inggeris yang hebat selain fasih dalam bahasa itu. Akan membawa bersama beberapa buah buku bersamanya ke mana saja beliau pergi.

7. Pernah menyara pendidikan seorang tukang kebun muda untuk meneruskan pengajian. Remaja lelaki itu mendapat keputusan cemerlang dalam ujian darjah 10 namun terpaksa menghentikan pengajian kerana masalah kewangan.

Dengan bantuan Jayalalitha, remaja itu menamatkan pengajian di Kolej Kejuruteraan terkenal di Madurai dalam bidang Sains Komputer. Kini berjaya memperoleh pekerjaan di Amazon.com.

INFO: Jayalalithaa Jayaram

-Ketua Menteri Tamil Naidu lima penggal

-Tempoh pentadbiran 24 Jun 1991-12 Mei 1996, 14 Mei 2001-21 September 2001, 2 Mac 2002-12 Mei 2006, 16 Mei 201 -27 September 2014, 23 Mei 2015-5 Disember 2016.

-Lahir 24 Februari 1948

-Tempat Lahir, Melukote, India

-Status, Bujang

-Meninggal dunia 5 Disember 2016 di Chennai, India

-Jawatan, Setiausaha parti AIADMK, Ketua Menteri Tamil Nadu

-Kerjaya, pelakon, ahli politik

-Hobi, membaca, memiliki perpustakaan dengan ribuan koleksi buku.

Jenama Amma

1. Komputer riba

2. Garam

3. Simen

4. Ubat gigi

5. Air minuman

6. Kit bayi

7. Biji benih

8. Kipas

9. Pengisar

10. Farmasi

11. Telefon bimbit

12. Kedai sayuran

13. Panggung wayang

14. Minyak angin

15. Teh

16. Makanan ringan

17. Rangkaian televisyen Jaya

18. Kantin

Berita Harian X