Selasa, 13 Disember 2016 | 12:04am

Pertembungan kerak bumi cetus gempa, retakan bergerak ke Sabah

KUALA LUMPUR: Rabu lalu, bumi Aceh sekali lagi digemparkan dengan gempa bumi kuat, mengulangi episod ngeri 12 tahun lalu apabila lebih 100,000 warganya bersama ratusan ribu lagi mangsa di negara lain terkorban akibat tsunami yang dicetuskan bencana sama.

Kejadian terbaru menjelang Subuh itu dilapor sudah mengorbankan lebih 100 nyawa setakat ini, manakala ratusan yang lain cedera. Banyak bangunan terutama kediaman turut runtuh menyembah bumi atau rosak teruk sehingga ramai penduduk di kawasan terjejas tinggal sehelai sepinggang.

Gempa bumi pada magnitud 6.5 empat hari lalu di kawasan Pidie Jaya yang menempatkan lebih 150,000 penduduk, berlaku hanya 17 hari sebelum genap 12 tahun bencana alam sama melanda wilayah Aceh pada 26 Disember 2004.

Ia disusuli beberapa siri gempa bumi dengan magnitud lebih 6.0 di beberapa bahagian dunia, selain lebih 12 gegaran susulan di Aceh dengan kekuatan semakin menyusut. Antaranya gempa magnitud 7.8 di Kepulauan Solomon pada Jumaat yang mencetuskan amaran tsunami, namun kemudian disahkan tiada ancaman itu.

Jumaat lalu juga, gempa bumi bermagnitud 6.5 menggegar Amerika Syarikat dengan pusat gempa di bawah Lautan Pasifik, iaitu kira-kira 160 kilometer (km) dari bandar Ferndale, California, namun tiada kerosakan harta benda atau korban jiwa dilaporkan.

Pada jam 6.10 pagi waktu tempatan semalam, gempa kuat magnitud 6.9 berpusat 90km barat Kirakira dan pada kedalaman 10km, sekali lagi menggegarkan Kepulauan Solomon, mencetuskan amaran tsunami untuk beberapa pulau di Lautan Pasifik yang kemudian dibatalkan beberapa jam selepas gempa.

Pakar Geologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin, berkata gempa susulan di sepanjang Lingkaran Api Pasifik memang dijangka sekiranya ada gempa bumi besar, iaitu pada magnitud lebih 6.0.

"Gempa bumi menyebabkan perubahan sistem tekanan dalam kerak bumi, mencetuskan bencana sama di kawasan yang turut berlaku pertembungan kerak bumi di Lingkaran Api Pasifik. Gempa di Aceh disebabkan subduksi atau penyusupan kerak bumi atau plet Lautan Hindi ke bawah kerak bumi Pentas Sunda.

"Ia berbeza dengan kes di Ranau, Sabah tahun lalu yang berpunca daripada kesan aktiviti subduksi plet Filipina dan plet Lautan Pasifik yang menolak plet Pentas Sunda dari arah timur," katanya.

Katanya, gempa bumi boleh berlaku di Sabah kerana wujud zon sesar aktif, iaitu retakan di kerak bumi yang bergerak apabila berlaku gempa walaupun berbeza daripada kerak di Lingkaran Api Pasifik.

INFO: Risiko gempa bumi di Malaysia

- Malaysia berada di luar Lingkaran Api Pasifik.

- Berjarak 400-500 km bagi Semenanjung dari lingkaran api di Sumatera, lebih 300km bagi Sabah dari lingkaran di Filipina.

Punca gempa bumi

- Akibat pelanggaran antara plet tektonik atau kerak bumi di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

- Kerak bumi sentiasa bergerak pada kadar beberapa sentimeter setiap tahun.

- Ada sempadan kerak bumi berlaga, akan menyimpan tenaga yang terhasil daripada perlanggaran itu.

- Dalam puluhan atau ratusan tahun, tenaga terkumpul terlalu tinggi akan dilepaskan, cetus gempa bumi.

Gempa bumi besar Oktober-Disember 2016.
Tiada amaran tsunami, kerosakan atau kemalangan jiwa.

* 20 September 2016
- Honshu, Jepun. Magnitud 6.1

* 23 September 2016
- Chiba, Jepun. Magnitud 6.5

* 23 September 2016
- Mindanao, Filipina. Magnitud 6.3

* 17 Oktober 2016
- Kepulauan New Britain, Papua New Guinea. Magnitud 6.9 menyebabkan kemalangan jiwa, kerosakan harta benda, gangguan elektrik, amaran tsunami.

* 21 Oktober 2016
- Osaka, Jepun. Magnitud 6.2, menyebabkan 80,000 penduduk terputus bekalan elektrik, kerosakan kecil rumah.

* 26 Oktober 2016
- Visso, Itali. Magnitud 6.1, dua jam selepas gempa magnitud 5.5, memusnahkan infrastruktur dan bangunan seperti kediaman, gereja bersejarah San Salvatore.

* 30 Oktober 2016
- Norcia, Itali. Magnitud 6.6, memusnahkan rumah, gereja.

*13 November 2016
- Christchurch, New Zealand. Magnitud 7.8, mengorbankan 2 nyawa, memusnahkan infrastruktur termasuk jalan raya, selain mencetuskan amaran tsunami.

* 22 November 2016
- Fukushima, Jepun. Magnitud 7.4, menyebabkan beberapa individu cedera, cetus tsunami kecil, jejas fungsi loji nuklear Fukushima.

* 24 November 2016
- Puerto Triunfo, El Salvador. Magnitud 7.0, cetus amaran tsunami, tiada kecederaan dan kerosakan dilaporkan.

* 7 Disember 2016
- Aceh, Indonesia. Magnitud 6.5, mengorbankan lebih 100 nyawa, mencederakan ratusan lain, menyebabkan bangunan seperti masjid, rumah musnah.

* 9 Disember 2016
- California, Amerika Syarikat. Magnitud 6.5, menyebabkan kecederaan namun tidak serius.

* 9 Disember 2016
- Kirakira, Kepulauan Solomon. Magnitud 7.7, cetus amaran tsunami, menyebabkan infrastruktur musnah, bekalan elektrik, talian telefon terputus.

  • FAKTA NOMBOR
  • 11 juta - anggaran purata kes gempa bumi di seluruh dunia setiap tahun.

  • 2,029 kes gempa bumi - dikesan sepanjang 2016 di Asia Tenggara.

  • 39,510 kes gempa bumi - dikesan sepanjang 2016 di seluruh dunia.

  • 150,000 kes gempa bumi - berskala tinggi direkodkan setiap tahun.

  • 80 peratus gempa bumi - di negara dalam Lingkungan Api Pasifik.
Berita Harian X