X
Sabtu, 10 Disember 2016 | 12:09am

Dua tahun tanpa tawaran, Shima menyesal sertai program realiti

BAGAIKAN jatuh di timpa tangga, begitu suratan yang membelenggu penyanyi rock popular era 1990-an, Shima.

Ketika berdepan penderitaan kerana mengalami 'slip disc' yang menyebabkan pergerakannya kaku dan terbatas, pada masa sama dirinya dibelenggu kesempitan hidup.

Umpama kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, Shima menanggung sengsara dan derita selepas lebih dua tahun tidak mendapat undangan nyanyian.

Entah di mana silapnya, penyanyi yang popular dengan lagu Teringin, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Aku Tetap Aku itu menyifatkan, penyertaannya dalam program realiti popular, dua tahun lalu menyebabkan kerjaya nyanyiannya perlahan-lahan terbenam dan menyembah bumi.

Ketika itu, ramai pengikut yang terkejut melihat perubahan penyanyi kelahiran Banting, Selangor yang bertubuh kecil molek tu. Shima yang dulu memiliki keampuhan suara tersendiri, namun segala-galanya berubah ketika menyertai program itu. Bentuk tubuhnya pula agak berisi dan gayanya tidak lagi selincah dulu.

Ketika persembahan, Shima hanya berdiri kaku di pentas. Persoalan demi persoalan dibiarkan tanpa penjelasan. Selepas dua tahun berlalu, hatinya terbuka untuk berkongsi bebanan yang ditanggung selama ini.

SHIMA memulakan karier sebagai penyanyi bersama kumpulan The Boys pada tahun 1989. - Foto Aziah Azmee
SHIMA memulakan karier sebagai penyanyi bersama kumpulan The Boys pada tahun 1989. - Foto Aziah Azmee

Bukan mahu menagih simpati, sebaliknya Shima hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman hidup sebagai seseorang yang pernah bergelar bintang dalam industri hiburan.

Sambil mengesat air mata, penyanyi yang lahir bersama kumpulan The Boys pada tahun 1989 itu mengakui kesal kerana menyertai program itu. Sangka Shima, penyertaannya dalam program realiti itu dapat membantu penjenamaan semula namanya selepas lama menyepikan diri.

"Sebaliknya berlaku apabila undangan persembahan mula menjauh. Mungkin ia kesan daripada persembahan saya ketika menyertai program itu hingga ramai menyangka, saya kaku dan tidak lagi mampu menyanyi dengan baik. Jika diimbas, saya sering dikritik kerana membatu ketika membuat persembahan. Saya menderita lebih dua tahun kerana tidak tawaran kerja," katanya.

Kehidupannya yang dulu selesa, nikmat itu perlahan-lahan bagaikan ditarik. Shima yang dahulunya menyewa di rumah teres, terpaksa berpindah ke pangsapuri murah. Kereta pula terpaksa dijual kerana tiada wang.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya tidak pernah hidup sesusah ini sejak menjadi penyanyi pada usia 19 tahun. Saya reda dengan ketentuan Tuhan, mungkin ini ujian hidup saya. Mujur dulu, saya tidak boros berbelanja dan menyimpan duit hasil menyanyi.

"Hari ini, saya hidup dengan duit simpanan yang tidak seberapa. Bukit pun jika ditarah setiap hari menjadi semakin gondol.

Saya tahu ada jiran tetangga hairan melihat seorang penyanyi tinggal di flat. Orang ingat saya senang dan kaya-raya. Terpulang apa orang mahu kata kerana mereka tidak tahu kesusahan saya.

SHIMA pernah popular dengan lagu Teringin, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Aku Tetap Aku. - Foto Aziah Azmee
SHIMA pernah popular dengan lagu Teringin, Setelah Aku Kau Miliki, Luka Dilukai dan Aku Tetap Aku. - Foto Aziah Azmee

"Dulu, saya mungkin antara penyanyi yang dikenali, tetapi zaman sudah berlalu. Tiada guna mengusung nama besar, tetapi terpaksa ikat perut untuk makan," katanya sayu.

Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman mengakui, sudah lama menderita 'slip disc', malah terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit. Hingga ini, Shima masih berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Saya menderita sakit dari tengkuk hingga pinggang yang menyebabkan pergerakan saya terbatas dan kaku. Berat badan juga naik mendadak. Dulu, berat saya hanya 43 kilogram tetapi kini mencecah 65 kilogram kerana bergantung kepada steroid untuk menahan sakit.

"Saya sedang menanggung kesakitan ketika menyertai program realiti itu, tetapi saya tidak meluahkannya. Saya paksa diri mengenakan kasut bertumit tinggi ketika persembahan walaupun belakang saya menahan sakit. Alhamdulillah, biarpun masih tidak boleh berdiri lama tetapi keadaan saya semakin pulih," katanya.

Tanpa berselindung, anak sulung tiga beradik itu mengakui, hampir berputus asa dan mahu meninggalkan dunia seni. Namun, Shima akur, tiada lagi kerja yang mampu dilakukannya selain menyanyi dan berlakon.

"Bohong jika saya cakap tidak kecewa. Pada satu tahap, saya seperti kebingungan menunggu tawaran persembahan. Saya sangat berharap, tetapi tiada sesiapapun menghubungi saya untuk menawarkan kerja. Saya tidak lagi terima tawaran menyanyi di lobi atau ruang istirahat hotel kerana mereka mencari penyanyi muda," kata penyanyi berusia 46 tahun yang kali terakhir muncul dengan album Ke Pangkuanmu pada tahun 2005.

DI SEBALIK wajahnya yang ceria, Shima menderita kesakitan akibat 'slip disc'. - Foto Aziah Azmee
DI SEBALIK wajahnya yang ceria, Shima menderita kesakitan akibat 'slip disc'. - Foto Aziah Azmee

Info

# Jadi penyanyi sejak usia 19 tahun bersama kumpulan The Boys

# Pernah popular dengan lagu Teringin,

# Berat meningkat daripada 43 kepada 65kg kerana pengambilan steroid penahan sakit

# Menderita kesakitan tulang belakang akibat 'slip disc'

# Sudah dua tahun tiada tawaran menyanyi dan berlakon

MASALAH kesihatan tulang belakang menyebabkan berat badan Shima meningkat dan gayanya tidak lagi selincah dulu.- Foto Aziah Azmee
MASALAH kesihatan tulang belakang menyebabkan berat badan Shima meningkat dan gayanya tidak lagi selincah dulu.- Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatulshima Kamarazzaman. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatulshima Kamarazzaman. - Foto Aziah Azmee
Berita Harian X