Sabtu, 3 Disember 2016 | 12:08am

Waspada telefon pintar antara punca sakit belakang

TERLALU banyak masa menggunakan peranti seperti telefon pintar atau tablet setiap hari seterusnya menyebabkan pergerakan fizikal semakin kurang dan ia tidak baik kepada badan manusia.

Kecanggihan teknologi dan gajet menyebabkan pergerakan fizikal semakin kurang sehingga tanpa disedari mula berasa sakit belakang.

Sakit belakang ini berlaku dan dirasai dari bahagian bawah tulang rusuk hingga ke bahagian atas punggung.

Perunding Ortopedik dan Pembedahan Tulang Belakang di hospital swasta di Kuala Lumpur, Dr Ozlan Izma Muhamed Kamil berkata, golongan muda terutamanya, harus kekal aktif bagi mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik kerana mereka antara paling banyak mengalami masalah sakit belakang.

PERUNDING dan Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Ozlan Izma Muhamed Kamil.
PERUNDING dan Pakar Bedah Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Ozlan Izma Muhamed Kamil.

"Apa yang berlaku pada masa ini adalah ramai orang yang menyalahguna teknologi yang ada.

"Saya ingin menyarankan supaya kita mengehadkan masa menggunakan telefon. Ibu bapa juga disaran mengehadkan masa anak mereka menggunakan telefon dan sebaliknya perlu menggalakkan anak mereka melakukan aktiviti di luar rumah.

"Sakit belakang selalunya berlaku secara tiba-tiba dan keadaan pesakit dilihat membimbangkan, tetapi sakit pinggang sebenarnya tidak berbahaya.

"Dianggarkan 90 peratus daripada kesakitan yang dialami itu akan sembuh dalam masa dua hingga tiga minggu walaupun tanpa sebarang rawatan," katanya.

Pemandu paling ramai

Dianggarkan lebih 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu.

Sakit belakang boleh berlaku dalam kalangan mereka yang berusia 20-an dan meningkat antara 60 hingga 65 tahun.

DIANGGARKAN lebih 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu.
DIANGGARKAN lebih 80 peratus orang pernah mengalami sakit belakang yang menyebabkan kerja dan aktiviti harian terganggu.

Kajian menunjukkan di Malaysia, terdapat 12 peratus insiden sakit pinggang berlaku di luar bandar, manakala 60 peratus pula dialami oleh pemandu kenderaan komersial.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan 25 peratus orang dewasa dilaporkan mengalami sakit pinggang yanb berlaku selama sehari dalam tempoh tiga bulan terakhir, manakala lapan peratus lagi melaporkan mengalami sakit yang lebih teruk.

Dr Ozlan Izma berkata antara petanda biasa sakit belakang ialah ketidakupayaan berkaitan dengan rutin kerja harian.

Kesakitan boleh dikurangkan, dirawat

Bagi sakit belakang, kesakitan yang berlaku boleh dikurangkan dengan mengambil ubat antiradang atau analgesik seperti paracetamol.

"Sakit belakang berlaku apabila anda cuba mengarahkan badan untuk melakukan sesuatu di luar kemampuan.

"Selalunya ia tidak menunjukkan masalah yang lebih serius tetapi jika ia tidak menunjukkan sebarang pengurangan, pesakit dinasihatkan berjumpa doktor dengan segera.

DIANGGARKAN 90 peratus kesakitan belakang mampu sembuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu.
DIANGGARKAN 90 peratus kesakitan belakang mampu sembuh dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

"Ini kerana ada beberapa keadaan yang mana sakit belakang boleh menjadi lebih serius. Contohnya, rasa sakit belakang disertai dengan rasa dicucuk ke bawah kaki, kehilangan kawalan pundi kencing atau demam," kata Dr Ozlan Izma.

Beliau berkata, selain berjumpa doktor, ada juga kaedah lain yang boleh digunakan untuk merawat sakit belakang.

"Pesakit boleh mencuba kaedah fisioterapi, manipulasi kiropraktik dan juga akupuntur.

"Pembedahan adalah jalan terakhir untuk merawat pesakit dan ia hanya dicadangkan apabila adanya ketidakstabilan mekanikal pada tulang belakang," katanya.

INFO: Faktor Risiko Sakit Belakang
* Duduk terlalu lama
* Menghabiskan masa di depan komputer
* Kurang bersenam
* Obesiti
* Merokok
* Usia
* Mempunyai penyakit seperti arthritis dan yang berkaitan

Diagnosis Sakit Belakang dilakukan menerusi:
* Sejarah keluarga dan pemeriksaan fizikal
* Ujian x-ray dan MRI.

UJIAN x-ray dan MRI. - Foto ihsan http://www.kpjjohor.com/
UJIAN x-ray dan MRI. - Foto ihsan http://www.kpjjohor.com/
Berita Harian X