Rabu, 16 November 2016 | 12:03am

Seminar asal usul Melayu ulangi isu kerap didengar

TIDAK banyak yang boleh diperkatakan mengenai Seminar Asal Usul dan Bukti Keintelektualan Melayu 2016 yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur, awal minggu ini.

Selain mungkin Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang tersentuh hati lalu menangis kerana terkesan dengan cabaran dihadapi bahasa Melayu masa kini ketika memulakan ucapan perasmian, selebihnya seminar dua hari anjuran Pusat Manuskrip Melayu PNM itu hanya mengulang isu hampir sama.

Meskipun seminar yang disifatkan oleh Mas Ermieyati bertepatan dengan usaha kementeriannya untuk memperkasakan seni, budaya dan warisan berteraskan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) ke arah memperkukuhkan perpaduan negara, perkongsian kertas kerja jujurnya tidak ada apa-apa yang baharu untuk dikongsi.

Kebanyakan isu yang dibawakan pernah ditampilkan sebelum ini dan ada yang sudah terlalu kerap didengar dalam seminar atau wacana membabitkan persoalan keintelektualan, asal usul dan jati diri Melayu.

Profesor Kesusasteraan Bandingan & Ombudsman, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar memulakan seminar itu dengan ucaptama berhubung asal usul, penghijrahan dan kebijaksanaan Melayu.

Teori mengagumkan

Pembentangan yang sangat menarik dengan teori 'Sundaland' memang sangat mengagumkan dan berjaya membuktikan orang Melayu bukanlah pendatang, tetapi berasal dari Tanah Sunda sekali gus menolak teori Out Of Taiwan yang dibangunkan oleh Peter Bellwood dan Robert Blust.

Sayangnya, pengisian ini sudah banyak kali diulang. Mungkin pengulangannya akan memperkukuhkan lagi pendapat berkaitan dengan melengkapkannya dengan kajian terkini tentu lebih menarik.

Bagaimanapun, ada beberapa perihal orang Melayu yang diperkuatkan misalnya menerusi pembentangan kertas kerja mantan karyawan tamu PNM, Dr Harun Mat Piah yang berkongsi tentang Kebangkitan Intelektual Alam Melayu Nusantara - Kesannya kepada Pemantapan Epistemologi Melayu Tradisional.

Selain kitab tib atau perubatan yang diketahui menyimpan seribu satu khazanah perubatan Melayu, kepustakaan manuskrip Melayu turut memiliki ilmu perkasihan dan kesihatan diri.

Harun turut menyentuh kebijaksanaan orang Melayu dalam pembuatan dan pengendalian ilmu persenjataan. Selain penggunaan meriam, senapang dan ubat bedil, manuskrip Melayu juga kata Harun, turut merakamkan tradisi awal penggunaan kertas yang bermula dalam budaya Mesir Purba sebelum orang Melayu mula mendapatkannya dari Makkah ketika mengerjakan haji.

Gagal dalam pengisian

Selain Harun, kebanyakan kertas kerja yang dibentangkan tidak banyak membawa muatan baharu atau mungkin sebenarnya kajian terbaharu itu ada tetapi belum boleh dikongsi dengan khalayak. Lalu, tidak hairanlah seminar berkenaan mungkin berjaya dari segi penganjuran tetapi gagal dalam pengisian.

Di Pusat Dokumentasi Melayu tersendiri khabarnya terhimpun 5,000 manuskrip Melayu yang menjadikan PNM sebagai pusat penyimpanan manuskrip Melayu yang terbesar di dunia dengan 2,000 daripadanya sudah dipindahkan dalam bentuk digital. Malangnya sehingga akhir tahun lalu, hanya 250 naskhah sahaja yang dikaji.

Sementara itu, sebanyak 1,145 manuskrip Melayu berada di Leiden, Belanda dengan 145 daripadanya dikategorikan sebagai manuskrip Islam dan 300 naskhah berada dalam simpanan Perpustakaan British. Bayangkan, jika semua manuskrip Melayu yang ada itu dikaji, tentulah dapatan daripadanya boleh digunakan untuk memaju dan memandaikan bangsa. Selagi manuskrip itu tidak dikaji, sehingga itulah sebahagian keintelektualan Melayu tidak akan diketahui.

Berita Harian X