X
Rabu, 9 November 2016 | 12:02am

Sejarawan digesa rujuk sumber Arab

DARI kiri, Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof Emeritus Dr Hashim Musa, Prof Madya Muhammad Mustaqim Mohd Zarif dan Dr Arba'iyah Mohd Noor pada Wacana Naskhah Kesultanan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka.
DARI kiri, Datuk Zainal Abidin Borhan, Prof Emeritus Dr Hashim Musa, Prof Madya Muhammad Mustaqim Mohd Zarif dan Dr Arba'iyah Mohd Noor pada Wacana Naskhah Kesultanan Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

KUALA LUMPUR: Sejarawan Malaysia digesa tidak bergantung kepada sumber Barat semata-mata dalam mengkaji sejarah Tanah Melayu dan kesultanan Melayu sebaliknya perlu merujuk kepada sumber Arab.

Ini disebabkan bukan sahaja hampir semua buku geografi Arab mencatatkan Tanah Melayu, bahkan sebahagian sumber Barat juga sebenarnya adalah terjemahan daripada karya klasik dalam bahasa Arab.

Penyelaras Kluster Sejarah dan Warisan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Adel M Abdul Aziz Algeriani, mengingatkan kemungkinan sumber terjemahan tidak dapat memberikan maklumat sepenuhnya kepada sejarawan dan pengkaji sejarah.

"Apatah lagi dalam sejarah turut mencatatkan karya berbahasa Arab yang banyak mengenai Tanah Melayu mendorong orang Barat datang ke Tanah Melayu. Jika anda membacanya, anda akan tidak hairan mengapa mereka berebut-rebut datang ke rantau ini.

"Ada kitab turut mencatatkan pasir di Tanah Melayu bercampur emas, manakala rajanya membuang banyak emas ke sungai setiap tahun," katanya pada Wacana Naskhah Kesultanan Melayu: Pemerintahan dan Politik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.

Hubungan akrab alam Melayu dan Arab

Adel ketika membentangkan kertas kerja Kesultanan Melayu Menurut Sumber Sejarah, Geografi dan Pengembaraan Arab berkata, sejak dahulu alam Melayu dan Arab mempunyai hubungan yang akrab dan ia perlu diperkemaskan untuk kepentingan masa kini dan akan datang.

"Dalam sejarah Arab juga ada mencatatkan kezaliman Portugis ketika kuasa penjajah itu menawan Melaka sehingga sanggup menggunakan batu nesan orang Islam untuk membina kubu.

"Banyak ilmu yang ada dalam sumber Arab yang perlu diketahui, tetapi ia memerlukan kerja terjemahan dan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Terdahulu, Presiden Pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, merasmikan Wacana Naskhah Kesultanan Melayu pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas; Timbalan Pengarahnya, Datuk Abang Salehuddin Abang Shoekran dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sasteranya, Dr Mohd Hanafi Ibrahim.

Tunku Zain berkata, Kestabilan sesebuah kerajaan dalam sistem raja berperlembagaan bergantung kepada kerjasama erat dengan sistem monarki di sesebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan berkenaan, manakala kerjasama yang lemah akan menggugat kestabilan dan mengganggu kelangsungan sistem itu.

"Prinsip kerjasama yang erat itu dititikberatkan dalam sejarah bangsa sehingga tertulis sejak dulu seperti termaktub dalam naskhah sastera Melayu termasuk Sejarah Melayu. Karya sastera sama ada ia cereka, sastera sejarah atau sastera ketatanegaraan bukan hanya merakam kisah manusia, bahkan ideologi yang tersirat," katanya.

Tanggungjawab kesejahteraan negara

Beliau berkata, naskhah Sejarah Melayu meletakkan tanggungjawab kesejahteraan negara kepada perilaku raja dan rakyat sehingga sekiranya raja menzalimi rakyat, akan berlaku huru-hara dan begitu juga sebaliknya.

"Naskhah kesultanan Melayu diwujudkan antara lain sebagai mekanisme mengawal perlakuan dan membentuk peraturan dalam masyarakat yang kemudiannya menjadi akar umbi kepada pembentukan undang-undang di Tanah Melayu," katanya.

Wacana Naskhah Kesultanan Melayu anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera DBP itu dianjurkan sejak 2014 dengan matlamat menghasilkan kajian dan dapatan baharu mengenai sistem pemerintahan serta politik kesultanan Melayu.

Berita Harian X